Sunday, March 1, 2009

Konflik kampus..Jika Al Banna masih hidup..

Ali Bukhari Amir
http://www.harakahdaily.net/

Dalam salah satu tulisannya atau mungkin dalam suatu ucapannya, Imam Hasan al-Banna telah menyebutkan sebuah hadis yang berbunyi lebih kurang: "Ketika aku sedang disakiti oleh kaum tua, aku telah dibantu oleh kaum muda ..

Hadis ini disebutkan tokoh itu demi membuktikan keprihatinan beliau terhadap golongan muda terpelajar, iaitu kaum mahasiswa. Malah, Hasan al-Banna telahpun membuat suatu pertemuan besar-besaran bersama mahasiswa dalam suatu muktamarnya.

Hasan al-Banna mengeluarkan suatu rumusan berhubung dua jenis pemuda dalam sebuah ucapannya. Pertama, pemuda yang dilahirkan dalam negara yang huru-hara dan keduanya anak muda yang lahir dalam negara yang senang dan aman.

Dalam konteks negara kita misalnya, mahasiswa yang lahir sekitar 1950-an hingga 70-an adalah golongan yang telah melalui era penjajahan dan mereka bangkit sebagai pimpinan setelah berhasil menempuh ranjau hidup yang panjang. Mereka melawan British dan Jepun.
Sebaliknya, mahasiswa yang lahir selepas tempoh tersebut kurang menyerlah kepimpinan mereka. Adalah tidak adil jika disebutkan mereka tidak punya upaya memimpin. Namun, yang lebih tepat ialah, kepimpinan yang tidak cukup kuat untuk menggalas perubahan.
Ini kerana, mereka yang biasa hidup susah biasanya akal mereka lebih kreatif dan matang lebih cepat berbanding pemuda yang lahir di dalam negara yang aman, demikian menurut Hasan al-Banna.

Prihatin dengan mahasiswa.
Saya tak ingat hal ini dengan begitu tajam lantaran kurang rujukan. Tapi bagaimanapun, hal ini cukup membuktikan al-Banna amat prihatin dengan mahasiswa.
Ini kerana, mahasiswa adalah aset masa depan. Kalau kita boleh menyebut hal ini sebagai "sunnah" dalam madrasah pendidikan yang ditemui dalam segudang pemikiran Hasan al-Banna, maka sudah tentulah pimpinan Islam wajib mengikuti "sunnah" al-Banna ini.
Al-Banna bukannya nabi dan rasul yang boleh diiktirafkan perlakuannya sebagai sunnah. Tapi, dalam perbincangan ini, saya sebutkan juga sebagai "sunnah" bagi memudahkan hal perbualan. Ini kerana, sistem tarbiyah al-Banna digunakan oleh "gerila" setelah khilafah berkubur. "Gerila" muncul dalam bentuk usrah yang meledakkan ilmu, meletuskan iman.

Gerakan Ikhwan Muslimin ini bermula dari Mesir. Mungkin pancaran dakwah jenis ini telah bersinar ke Ismailiyah, Iskandariyah dengan pesatnya dan tempias cahayanya turut tumpah menyinggah di Universiti al-Azhar, tempat para mahasiswa sedunia berhimpun.
Silibus dan kurikulum dakwah al-Banna inilah yang telah dipunggah masuk dalam sistem dakwah jemaah-jemaah Islam di Malaysia pada hari ini. Jikalau mahu dibuat perumpaan, tidak keterlaluan jika dinisbahkan beliau sebagai bapa kepada urusan dakwah di abad ini seperti Nabi Ibrahim a.s yang diangkat sebagai bapa segala nabi.

Sekali lagi, bagi mengelakkan kekeliruan dan silap faham-al-Banna bukan nabi dan rasul. Sistem tarbiyyah yang disusunnya seperti usrah, bukannya "sunnah" yang diikuti oleh kalangan aktivis dakwah Islam sekarang ini. Semua ini cuma analogi perumpaan sahaja.
Namun, kiasan ini cuma dibangkitkan bagi menyedarkan kita terhadap suatu persoalan - sejauhmanakah kita telah mengikuti sunnah al-Banna ini? Adakah kita mengikuti sunnah beliau dalam membantu mahasiswa?

Sistem tarbiyyah seperti usrah di universiti tidak hidup sekiranya idea-idea itu tidak diulang cetak oleh mahasiswa al-Azhar ke negara masing-masing. Usrah di universiti yang biasanya menetaskan kepimpinan jemaah, bukannya usrah-usrah desa.
Ertinya, mahasiswa yang paling ramai memainkan fungsinya guna menghidupkan pergerakan Islam dalam politik hari ini.

Inilah jasa buah pemikiran al-Banna di mana mahasiswa adalah mesin atau jenteranya.
Al-Banna amat bijak di dalam hal ini. Apabila beliau "menggunakan" mahasiswa sebagai jentera dakwah, maka beliau akan berusaha memperbaiki semangat dan jiwa pendakwah muda agar terus mantap. Permasalahan anak muda jadi keutamaan beliau.

Mesin dan jentera dakwah bagaikan sebuah kereta yang perlu diperbaiki, diberikan servis secara berkala dan berjadual supaya dakwah itu dapat berjalan dan memecut berterusan. Pelajar itu janganlah hendaknya dijadikan kenderaan yang tidak diberikan servis. Apabila rosak, maka ditinggalkan pelajar itu begitu saja bagaikan bangkai kenderaan terbiar.

Al-Banna pemimpin umat-mujaddid yang menggariskan semula beberapa prinsip dakwah peninggalan Rasulullah s.a.w dalam cara yang mudah difahami masyarakat semasa. Juga, beliau berhempas pulas menemui orang-ramai yang beragam sifatnya demi Islam.
Diriwayatkan beliau tidak pernah keluh kesah apabila bertemu orang-ramai. Suatu ketika, selepas ceramah, ramai orang mahu berjabat tangan bersama beliau. Sahabat-sahabatnya telah menghalang orang-ramai berbuat demikian.
Apabila mendapat tahu hal itu, beliau berkata: "Tidakkah kalian tahu bahawa apabila aku bersalaman dengan mereka, maka sebahagian besar daripada keletihanku telah hilang?"
Seorang jurudakwah seperti al-Banna terpaksa menerima hakikat ini semuanya. Terpaksa mereka menemui pekerja kilang yang meminta mereka turun menyelesaikan masalah jika menjadi jurubicara umat.

Saya mendapat maklumat bahawa Ikhwan mempunyai puluhan, malah ratusan lembaga swadaya atau NGO seperti Persatuan Tukang Gunting, Teksi dan lain-lain. Ini semua ditubuhkan bagi memperjuangkan masalah dan hak kaum pekerja.
Apatah lagi masalah dunia akademik seperti pensyarah universiti dan masalah mahasiswa kita. Ini perlu menjadi perhatian pimpinan Muslim kerana pelajar adalah aset kepimpinan negara nanti. Diriwayatkan, nama Nabi Zulkifli sebenarnya bukan Zulkifli. Itu cuma gelar setelah dia bersedia menerima amanah kepimpinan dari raja yang mencari penggantinya.
Zulkifli ertinya yang sanggup memikul amanah dan tanggungjawab. Zulkifli serta Zulkarnain memiliki wazan timbangan nama gelaran yang sama. Kedua-duanya adalah raja. Zulkarnain pula adalah seorang raja yang menolong rakyat melawan penindasan penjajah Yakjuj Makjuj.

Ada hal lain yang tak kurang pentingnya apabila al-Banna merumuskan tiga rukun usrah-taaruf, tafahum, takaful. Untuk ringkaskan bualan, marilah kita tumpukan istilah takaful.
Akhir kepada matlamat usrah ialah takaful-saling bantu-membantu, tolong-menolong dan jamin-menjamin. Idea bagi menubuhkan usrah dalam konteks universiti di Malaysia pada hari ini tentunya datang daripada jemaah Islam dan bukannya universiti.

Selebihnya itu, ahli jemaah Islam dalam kalangan pensyarah sahaja yang mewujudkan usrah tersebut.
Oleh itu perlulah wujud semacam sikap saling bantu-membantu antara pensyarah-pelajar-pimpinan jemaah pusat jika timbul kesulitan di mana-mana anggota jemaah. Nabi pernah bersabda, bahawa Muslimin itu bagaikan anggota tubuh, apabila cedera salah satu anggota maka yang lainnya akan turut menderita kesakitan dan demam.

Jika Hasan al-Banna masih hidup pada saat ini, nescaya beliaulah antara orang yang amat prihatin dan terkesan dengan realiti kampus kita. Mungkin akan wujud muktamar khas bagi mereka. Ingatlah, situasi kampus dahulu berbeza dengan sekarang. Perbezaan ini tentu sekali menuntut perbezaan pendekatan dalam perjuangan.

No comments:

Post a Comment