Tuesday, May 26, 2009

Ustaz, Encik atau Protaz



Sumber : http://genta-rasa.com/2009/05/23/ustaz-encik-atau-protaz/#more-423

“Nak panggil encik ke ustaz?”
Saya terkejut. Ada juga pertanyaan semacam itu.
“Panggil apa-apa sahajalah,” jawab saya ringkas.
“Tak boleh begitu…”
“Mengapa?
“Ustaz itu yang orang yang mempunyai latar belakang agama,” balasnya.
“Latar belakang agama?” tanya saya lagi.
Kalau sekadar berlatar belakangkan agama, semua kita memilikinya. Kita orang Islam. Bisik hati saya.

“Kalau ada kelulusan agama, bolehlah kita dipanggil ustaz,” jelasnya lagi.
Saya senyum. Dia semacam begitu naif. Tetapi benarkah begitu?
“Kalau begitu saya bukan ustaz. Saya encik,” jawab saya akhirnya.
“Tapi kenapa encik selalu cakap tentang agama?’
Saya akui kuliah, tulisan atau sajak-sajak yang saya tulis mempunyai “suara” dan “bau” agama. Islam agama saya, salahkah saya bercakap dengan agama saya? Begitu suara hati saya. Tetapi saya pendamkan sahaja. Bimbang kalau-kalau nanti disalah ertikan atau terkasar bahasanya.

“Kenapa… kalau bukan ustaz tidak boleh bercakap tentang agama?”
“Saya dengar begitulah. Tidak autentik. Tidak ada autoriti,” jawabnya terus terang.
“Kenapa begitu ya?”
“Ya lah, kalau kita bercakap agama tetapi tanpa nas dan dalil kita mungkin mengelirukan orang lain.”
“Walaupun sekadar mengajak untuk mengerjakan kebaikan. Contohnya, nak mengajak orang solat, berakhlak baik, rajin bekerja, tinggalkan mengumpat… perlu dalil juga?”
“Mestilah. Bukankah halal dan haram itu pasti ada nas dan dalilnya?”

Saya benar-benar terkejut dengan kefasihan dan kelancarannya berhujah. Dia bukan sebarang. Kelihatan naif, tetapi sebenarnya tajam dan licik gaya berfikirnya.
“Benar, semua itu ada nas dan dalil… tetapi semua orang sedia maklum akan haram atau halanya. Contohnya, majoriti sudah tahu solat itu wajib, mengumpat itu haram. Nas dan dalil bukan masalah utama di sini.”
“Masalahnya apa?”
“Masalah kita bukan tidak tahu wajib atau haramnya sesuatu itu…tetapi kita tidak mahu melakukannya. Tahu solat wajib, tetapi malas melakukannya. Tahu mengumpat itu haram, tetapi suka melakukannya.”

“Kalau itu masalahnya, bagaimana kita hendak menanganinya?”
“Ustaz lebih tahu!” balas saya tiba-tiba. Dia terkejut dengan panggilan saya. Sejak tadi saya hanya memanggilnya dengan panggilan “saudara”. Tetapi sekarang hati saya cenderung merasakan bahawa dia memang seorang ustaz (berkelulusan agama).
“Ya, ya… saya seorang ustaz.”
“Alhamdulillah, kalau begitu soalan tadi saya kembalikan kepada ustaz. Ustaz tentu lebih arif,” kata saya. Memang saya mengharapkan jawapan dan panduan daripadanya.

“Semua pihak perlu memainkan peranan. Kita mesti menyeru dan mendidik masyarakat,” jawabnya setelah diam sejenak.
“Termasuklah saya yang “encik” ini kan?” kilas saya perlahan.
Dia mengangguk.
“Benar kata ustaz… Encik cara encik, ustaz cara ustaz. Saya hanya mampu menyeru, berdakwah dan mengingatkan. Sepatah yang saya tahu, sepatah yang saya sampaikan.” “Sampaikan daripada ku walau sepotong ayat… Begitu kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” ujar ustaz mengeluarkan nas.
“Kalau begitu, encik sudah jadi seorang dai, seorang pendakwah,” tambahnya lagi.
“Ya, kita umat dakwah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dengan kemampuan kita.”
“Dengan kuasa, lidah atau sekadar benci dengan hati!” balas ustaz.
“Betul ustaz.”

“Tapi saya khuatir ramai yang menyamar jadi ustaz sekarang ni. Tidak ada kelulusan agama tetapi merasakan diri layak untuk digelar ustaz,” ustaz itu menyuarakan kebimbangannya.
“Kelulusan yang bagaimana?”
“Ya lah, mesti ada PHD, MA, BA atau setidak-tidaknya diploma dalam bidang agama daripada universiti dalam atau luar negara.”
“Kalau setakat tamat pengajian pondok, boleh dipanggil ustaz?”saya bertanya.
Ustaz itu termenung. Berfikir agaknya.

Dalam ruang ingatan saya terbayang “ustaz Z” – guru yang mengajar saya sewaktu kanak-kanak dahulu. Pada akhir tahun 60’an ustaz Z mengajar saya tentang tauhid, fikah dan akhlak. Dia berserban dan bergamis putih. Ustaz Z hanya belajar sekolah pondok (begitu pengakuannya pada saya). Namun saya kagum dengan kegigihannya. Kesungguhannya mengajar anak desa dengan ganjaran paling minima ketika itu sangat saya hargai. Dan diantara yang “luar biasa” tentang ustaz Z itu ialah dialah satu-satunya ahli agama yang rela dipanggil ustaz!

Mungkin generasi sekarang terkejut dengan kenyataan saya. Tetapi itulah hakikatnya. Pada zaman Pop Ye Ye , The Beetle , kemudian menyusul budaya hippies dan woodstock pada waktu itu kehidupan beragama memang tercabar. Menutup aurat (sekadar dengan tudung pendek) itu pun sudah dianggap asing. Dan pada waktu itu ramai ustaz-ustaz (maksudnya orang yang berkelulusan agama) yang malu kalau dipanggil ustaz. Pengalaman saya sendiri berdepan dengan ustaz yang mahu dipanggil ustaz hanya di kawasan sekolah! Jangan di tempat awam.

Namun sekarang ustaz-ustaz sudah naik “harganya”. Malah sudah ada “glamour”. Sudah ada rancangan TV yang popular sama ada yang dihoskan oleh ustaz atau secara langsung dinamakan dengan tanyalah ustaz. Tidak hairan jika kini ramai ustaz yang mahu dipanggil ustaz dan bukan ustaz pun yang mahu dipanggil ustaz. Di sinilah mungkin terjadi persaingan, kekeliruan, eksploitasi, obsesi dan sebagainya. Kalau dulu keikhlasan para ustaz diuji cara begitu, kini keikhlasan itu teruji dengan cara yang lain.

“Saya cadangkan encik jadi Protaz,” tiba-tiba ustaz itu bersuara. Saya terkejut dalam lamunan atas imbauan lampau yang panjang.
“Protaz?”
“Profesional ustaz. Maksudnya, dia mungkin doktor, jurutera, korporat, malah pilot atau lain-lain golongan profesional tetapi mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.”
“Mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau mempunyai kelulusan agama yang tinggi?”
Kali ini ustaz itu benar-benar berteleku. Dahinya berkerut.
“Saya tak faham. Benar-benar saya tak faham, apa maksud encik?”

“Begini ustaz, ada seorang sahabat saya, seorang akauntan tetapi pengetahuan agamanya tinggi. Hasil dia belajar di masjid, surau atau kelas-kelas pengajian yang tidak formal. Saya dapati tajwidnya fasih, tafsirnya juga mantap, tetapi kalau diikutkan piawaian tadi dia masih dalam kategori encik, bukan ustaz…. Sekarang boleh dia dipanggil Protaz?”
“Bolehlah…” jawab ustaz itu perlahan.
“Bagaimana dengan autoriti diri dan autentik ilmunya?”
“Wah, pening saya,” akui ustaz itu.

“Maaf, sampai ke tahap ini pula perbualan kita. Jika dilanjutkan nanti saya pasti akan melarat-larat kepada takrif ulama, alim, profesional dan lain-lain pula nanti,” ujar saya.
Kami pun berjabat tangan tanda perpisahan.
“Terima kasih ustaz.”
“Terima kasih encik,” balasnya.

Saya masih ingat betapa hebatnya “muzakarah” yang menghampiri medan “mujadalah” antara beberapa cendekiawan dalam majlis forum yang pernah saya hadiri beberapa tahun yang lalu.
“Ulama itu orang yang faham segala ilmu teras dan ilmu alat dalam bidang agama secara terperinci!”
“Ulama itu orang yang takut kepada Allah. Kalau ilmu setinggi langit sekalipun, tetapi tidak ada rasa takutkan Allah, orang itu bukan ulama, ” bidas seorang lagi.
“Apakah tukang sapu yang hanya tahu asas-asas fardu Ain tetapi sangat takutkan Allah, boleh dipanggil ulama?” tanya seorang yang lain.
“Mampukah orang yang hanya ada asas-asas fardu Ain takutkan Allah?”
“Eh, jangan lupa… kisah budak gembala kambing yang diuji oleh Sayidina Umar agar menjualkan kambing tuannya lalu dia menjawab, kalau begitu di mana Allah? Apakah anda hendak nafikan yang budak itu adalah ulama?”

Itulah serang dan tangkis yang saya dengar daripada mulut para ilmuan dan tokoh suatu ketika dahulu. Saya yang “encik” ini akhirnya mengambil sikap tidak mahu campur perkara yang di atas. Saya tidak layak. Namun, sebagai seorang Islam kita tetap terpanggil untuk membuat kebaikan… lalu saya turun ke bawah. Saya tidak banyak tahu jika dibandingkan dengan orang di atas. Tetapi bila saya lihat “di bawah” saya insaf, ilmu saya masih “terlalu” banyak bila dibandingkan dengan kewajipan menyampaikan. Terlalu banyak ayat-ayat yang belum saya sampaikan.

Ah, kekadang (dan sejak akhir-akhir ini sering) saya biarkan sahaja persoalan yang rumit dan kusut. Yang bukan taraf diri dan tahap ilmu saya untuk mengungkainya. Namun entah mengapa sejak akhir-akhir ini, pertikaian, kekhilafan dan perbezaan yang sudah lama disimpan dalam “sampul” sikap lapang dada dan adab ulama silam kini seolah-olah dibongkar kembali. Mungkin ada kewajarannya… kata mereka, kini orang semakin bijak. Dunia semakin terbuka. Namun, sikap berhati-hati dan paling penting – keikhlasan kepada Allah SWT, perlu diutamakan. Ya, mungkin orang sekarang semakin bijak, tetapi hubaya-hubaya kalau hati semakin rosak!

Mudah-mudahan peti khazanah ilmu silam yang beragam dan bermacam itu akan menyerakkan sejuta keharuman bila dibuka kembali dengan hati yang luhur. Dan tidak menjadi seperti “kotak pandora” yang meyebarkan fitnah dan kecelaruan bila dibuka dengan hati yang takbur . Ya, semoga semua pihak, tidak kira ulama, ustaz, alim, protaz, profesional atau sekadar “encik” sama-sama memainkan peranan menegakkan agama. Setiap orang Islam mesti memperjuangkan Islam!
Dikirim dalam Tarbiyah | Label: agama, encik, Islam, protaz, ulama, ustaz

Thursday, May 14, 2009

Teknik Pengucapan Awam

Introspeksi Iman Khas
17 Mac 2009 (Selasa)

Perkongsian mengenai 'Teknik Pengucapan Awam' oleh Saudara Aizat Amiruddin

semoga Allah redha dengan kita..


Friday, May 1, 2009

Mengenang Sheikh Ahmad Yaasin


Sumber : http://haluanpalestin.haluan.org.my/

Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak mengahalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di mesjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama ?Mujamma al-Islam?.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai al-Mujahidun al-Filastiniyun. pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan Kataib Syuyukh yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak mengahalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987. HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama Atfal Hijarah (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai Intifadah. Kesan dari Intifadah ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenajarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16 / 10 / 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang ? alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan..

Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat PAlestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelabagi usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang Bandar-Bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Syeikh Ahmad Yassin juga tidkak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilaman sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari mesjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankan diri Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.