Sunday, March 8, 2009

Apakah matlamat kehidupan insan?



oleh: Hilal Asyraf

http://langitilahi.com


Kita sudah maklum bahawa kita ini didatangkan daripada ALLAH S.W.T. Sudahlah ALLAH menciptakan kita dengan sebaik-baik penciptaan, ALLAH meminta pula para malaikat yang mulia itu untuk bersujud kepada kita. Kalaulah kita sekurang-kurangnya sedar akan hal itu, pastinya kita akan berfikir banyak kali untuk mencalarkan kemuliaan yang ada di dalam diri kita.

Matlamat, jika kita menyebut perkataan ini, apakah yang akan timbul di dalam pemikiran kita? Tujuan, destinasi, hala tuju, dan beberapa lagi perkataan lain yang seerti dengannya akan muncul. Matlamat menjadi perkara yang amat besar untuk kita kekal bertahan di atas jalan perjuangan kita. Jika kita samar dan kabur mengenai matlamat kita, pastinya kita akan cepat berputus asa. Betul?

Contoh,

Bila kita belajar, kita ditekankan untuk jelas akan sebab kita belajar?

Pelbagai sebab, sebab mak ayah, sebab keluarga, sebab buah hati, sebab masa hadapan. Itu semua membakar semangat kita menyebabkan kita sukar untuk berputus asa. Bila kita hendak berputus asa, kita ingat kembali sebab dan tujuan kita memulakan langkahan, maka kita akan bersemangat semula. Tambahan jika matlamat itu adalah matlamat yang besar dan kukuh.

Seorang ulama’ ada berkata,

“Berputus asa di tengah jalan itu adalah kerana berlakunya kesilapan di titik mula”

Hal ini menunjukkan, jika kita jelas kenapa kita memulakan langkahan, kita jelas apa yang hendak kita capai, maka kita akan sukar untuk berputus asa.

Kita memandang pula pada skop yang lebih besar, yakni kehidupan. Adakah kita tahu, matlamat dan tujuan kita didatangkan ke dunia ini? Kenapa sebenarnya ALLAH menciptakan kita di dunia ini? ALLAH menciptakan kita dengan sebaik-baik penciptaan, kenapakah ALLAH datangkan kita ke dunia ini sedemikian rupa? Untuk menjalani kehidupan, kemudian mati begitu sahaja?

Mari kita sama-sama tenangkan diri. Kita hirup udara segar sebentar, lapangkan minda dan hati kita, kita renungi firman ALLAH S.W.T.,

“ Dan tidaklah KAMI ciptakan jin dan manusia itu melainkan hanya untuk beribadah(kepada KAMI)”

Itulah tujuan kehidupan insan. Itulah tujuan manusia diciptakan. Tidakkah anda lihat, ALLAH menciptakan kita, maka matlamat kita adalah ALLAH semata-mata.

Kita hakikatnya perlu memasukkan kefahaman ayat ini di dalam kehidupan kita. Kita perlu menggamnya dan menyematkannya kemas di dala kehidupan kita.

Tidakkah anda merasakan yang hidup kita ini betul-betul satu anugerah? Sudahlah diciptakan sebegitu istimewa, malah tujuan kehidupan kita juga adalah teramat cantik. Tujuan hidup kita adalah ibadah kepada ALLAH. ALLAH tidak menciptakan kita atas sebab yang lain. Hal ini bermakna, kita perlu bergantung kepada ALLAH dalam segenap perkara, perlu mendekatkan diri kita kepada ALLAH setiap masa.

Cantiknya ALLAH S.W.T. yang telah menciptakan manusia dengan sebaik kejadian, kemudian meletakkan tujuan kehidupan insan dengan sebaik-sebaik tujuan.

Jika kita menganggap matlamat hidup kita sebagai ibadah, bukankah kita akan lebih kuat dalam menjaga diri kita dari perkara yang sia-sia? Kita akan lebih kuat dalam menjaga diri kita dari maksiat, kita akan berusaha menjauhkan diri kita dari apa yang ALLAH murka, kita akan jauhkan diri kita dari perkara-perkara yang merosakkan diri kita.

Jika kita menganggap meletakkan ibadah sebagai matlamat hidup kita, bukankah kita akan lebih terasa hendak melakukan banyak kebaikan? Bukankah tubuh kita akan sentiasa ringan untuk mencari segala peluang kebaikan? Bukankah nanti kita akan lebih mendekati ALLAH? Bukankah yang kita dapat hanya kebaikan?

Cantiknya matlamat ini. Malah matlamat ini akan membuatkan kita sentiasa beramal dengan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja lapangan, dalam pekerjaan, dalam pelajaran, dalam hubungan kita dengan keluarga, dalam hubungan kita dengan masayarakat, kerana kehidupan kita adalah ibadah.

Tujuan ini nyata tujuan yang kukuh. Kita pastinya sukar untuk tersasar ke jalan yang merosakkan jika kita menyedari matlamat sebenar kita didatangkan. Kita pastinya tidak akan mempersia-siakan penciptaan kita yang istimewa itu, jika kita menyedari akan hal ini. Nampaknya, jika kita sedar akan matlamat ini, kita akan lebih berjaya, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat nanti.

Justeru, marilah kita duduk sebentar, berfikir, dan mengoreksi tujuan serta matlamat kehidupan kita.

Marilah kita bersama-sama menjadikan kehidupan kita sebagai ibadah untuk berjaya di dunia dan akhirat.

ALLAH pasti tidak akan mempersia-siakan kita.

“ Dan ada di antara mereka yang berdoa, ‘ya tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka’. Mereka itulah yang memperoleh bahagian dari apa yang mereka kerjakan, dan ALLAH itu Maha Cepat PerhitunganNya”

No comments:

Post a Comment