Sunday, March 8, 2009

Khabar Perindu..


“ Bangunlah si lembap! Tak faham bahasa ke? Aku kata bangun, bangun lah! Bodoh!! “
Lenaku yang enak terganggu dengan herdikan keras dari tuanku yang baru tiba. Aku terpisat-pisat membuka mata yang masih berat. Tampang di hadapanku wajah tuan aku yang merah membara. Radangnya yang membukit jelas terpancar dari matanya yang mencorot marah ke arahku.


“ Pemalas betul kau ni! Aku beli kau supaya buat kerja. Bukan tidur sahaja! Bangun!! Cepat angkat barang-barang ni dan bawa ke pasar! “ teriaknya lagi sambil menampar-nampar tubuhku.


Aku yang masih letih dek seharian berkerja semalaman terpaksa bangun dalam siksa. Badanku sengal-sengal. Apa tuan ini tidak mengertikah pada keadaanku yang tidak sihat ini? Sungguh, dari dahulu aku sering dipaksa membuat kerja-kerja yang berat tanpa rehat. Puas aku merayu meminta simpati tapi langsung tidak diendahkan. Dalam payah, aku terpaksa menelan setiap kezaliman yang ditimpakan ke atasku.


Ada masanya aku mahu lari. Tapi aku khuatir, andai aku lari kemana harus aku pergi? Aku tiada sesiapa di muka bumi ini. Ibu bapaku sudah tiada. Hendak mengadu pada siapa? Tiada siapa yang akan bersimpati dengan nasibku si hamba hina. Perlahan-lahan, air mataku tumpah di pipi tanda menyesali hidup yang penuh derita tanpa ada pelindung ini. Andainya aku hidup di zaman moyangku, pasti semua ini boleh diubah menjadi lebih bahagia.


Kata ibu, dulu keturunanku dimuliakan walaupun kami adalah hamba. Tiada siapa dapat menyakiti kami kerana ada seorang manusia yang sangat indah rupanya, cantik pekertinya yang selalu menjaga kebajikan kami. Walaupun berbeza darjat, dia tidak pernah mempamerkan hakikat kasta. Baginya, hamba dan merdeka masih punya jiwa yang perlu dipelihara. Ah, rindunya aku dengan manusia itu. Kamu tahu apa namanya? Muhammad. Penyuluh alam yang dihantar raja dunia.


Biar aku cerita pada kamu siapa dia. Itu rasulku. Sungguh, aku teramat mencintainya. Walaupun tidak pernah ketemu, tapi kisah-kisah ibu buat aku terasa hampir dengan baginda. Baginda itu sangat mulia. Tidak pernah aku dengar manusia yang bersifat seperti baginda. Budinya sangat tinggi. Dengan akhlak yang indah dan kasihnya yang segar, tidak hairanlah semua di dunia ini menyayangi diri baginda. Hatta aku jua begitu.


Pernah dahulu aku dengar ibuku bercerita tentang kisah lagenda moyangku yang mendapat rahmat dengan bantuan dia. Kata ibu, dahulu di zaman moyangku, pemilik-pemilik hamba kejam orangnya. Malahan mereka ingkar pada perintah Allah yang Esa. Moyangku yang tika itu sudah letih menghadap kerenah tuan yang lupa diri pergi baginda di perkampungan itu.




Dengarnya, baginda boleh memahami jiwa-jiwa hamba seperti kami. Moyangku benar-benar mengharapkan pertolongan darinya walaupun pernah terdetik apakah benar rasul itu berbeza dari manusia di sekeliling baginda yang bertaraf merdeka.


Dengan rasa pasrah, moyangku segera lari meninggalkan tuannya yang berniat jahat kepadanya. Dia menuju ke tempat aman yang dihuni manusia terbaik itu dengan rasa penuh mengharap. Hati moyangku tidak lepas-lepas berdoa agar dibukakan hati manusia itu untuk menolongnya. Bila moyangku tiba, dilihat manusia itu sedang sibuk mengajar. Riak wajahnya sungguh bercahaya. Senyuman manusia itu cukup buat moyangku damai bila menatapnya. Moyangku resah memikirkan bagaimana untuk memberitahu masalahnya.


Tanpa di duga sebelum sempat moyangku membuka mulut untuk berbicara, manusia itu menyapanya.


“Tenanglah. Jika kamu berkata jujur, kamu sendiri yang akan memetik buah kejujuranmu, namun jika kamu berdusta, kamu sendiri yang akan menanggung akibatnya. Ketahuilah bahwa Allah swt memberi keamanan kepada orang yang berlindung kepada kami. Orang yang meminta perlindungan kepada kami tidak akan kecewa.”


Moyangku terharu. Lantas terus diceritakan segala-galanya pada baginda. Tentang masalah tuannya yang kejam dan dirinya yang ditimpa bencana. Sambil bercerita, moyangku tertoleh-toleh ke belakang seakan takut tuannya dating menjejaknya ke sini. Usai itu, rasul segera bicara dengan hadirin baginda tentang masalah moyangku. Tidak lama kemudian, seperti benar jangkaan moyangku, tuannya datang dengan riak muka mencuka. Moyangku ketakutan lantas menyembunyikan diri di belakang baginda.


“Ya Rasulullah, itu hamba kami di belakangmu. Sudah beberapa hari dia melarikan diri. Nasib baik kami ketemunya di sini. Serahkanlah kembali dia pada kami “


“Ketahuilah,dia telah mengadu padaku.”


“ Dia mengadu apa, wahai Rasulullah ?”


“ Katanya d ia kalian besarkan dengan aman selama beberapa tahun. Setelah dewasa, kalian mengawinkannya sehingga kalian mendapatkan hamba-hamba baru. Dan sekarang, ketika ia sudah tua renta, kalian masih hendakkan dia berkerja dan menganiayanya,” jelas Rasulullah.


“Memang demikian, ya Rasulullah. Diakan hamba, memang itu kerjanya, “ balas mereka.
Kemudian Rasulullah saw bersabda, “ini namanya tidak balas budi.”


“ Ya Rasulullah, jika begitu, kami tidak akan menyiksanya.”


“ Bohong. Dia telah merayu meminta simpati daripada kalian tapi tidak kalian pedulikan. Aku lebih patut memberi rahmat daripada kalian karena Allah telah mencabut rahmat dari hati kaum munafikin dan menempatkannya di hati kaum mukminin, “ sabda beliau.


Akhirnya Rasulullah saw pun membeli moyangku itu seharga seratus dirham. Kemudian beliau bersabda kepada moyangku, “Pergilah. Kamu bebas sekarang.”


Moyangku tak henti-henti mengucapkan syukur atas pertololongan baginda. Sebelum pergi, moyangku sempat berkata-kata sesuatu kepada Rasulullah. Setiap kali habis moyangku berbicara, baginda pasti mengaminkannya. Sehingga kali keempat, Rasulullah tiba-tiba menangis sewaktu mengaminkan biacara moyangku


“ Ibu, apa yang moyang bicara sama Rasul itu?” tanyaku kehairanan


Ibu kemudian memberitahu“Moyang katakan, ‘Semoga Allah membalas jasamu terhadap Islam, wahai Nabi.’ Lalu Nabi membalas Amiien. Lalu moyang itu berkata lagi, ‘Semoga Allah menentramkan ketakutan umatmu pada hari kiamat, sebagaimana engkau menentramkan hatiku.’ Nabi katakan ‘Amiien’. Kemudian moyangku menyambung lagi, ‘ Semoga Allah melindungi umatmu dari musuh – musuh mereka, sebagaimana engkau melindungi nyawaku. Nabi menyahut ‘Amiin’. Selanjutnya moyangku berkata, ‘ Semoga umatmu tidak saling membunuh dan berperang.’ Mendengar doa terakhir moyangku nabi menangis.”


“ Kenapa Nabi menangis, ibu?” aku bersuara


Ibu menjelaskan bahawa nabi bersabda “ Permohonannya itu sudah pernah ku mintakan kepada Allah dan Dia mengabulkannya, kecuali permohonan yang terakhir. Jibril memberitahuku dari Allah bahwa umatku hancur karena saling berperang sesama mereka. Semuanya sudah tertulis.”


Disebabkan pertolongan nabi inilah, moyangku terselamat dari kezalimannya tuannya dahulu. Bukan itu sahaja, banyak lagi salasilah keturunanku yang pernah mencatat memori indah bersama baginda dahulu. Kalau aku hidup di zaman mereka. Tapi sayang, aku harap cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Siapa sangka akhirnya aku kembali terjerut dalam perhambaan ini setelah sekian lama keturunanku bebas merdeka. Itu pun setelah aku terpedaya oleh tipu helah manusia yang busuk hatinya!


Kisah moyangku selalu membuatkan aku termenung hiba. Kalau di zaman ini Rasulullah masih ada, tentu aku akan selamat bila aku meminta bantuan baginda. Pasti nasibku tidak akan sebegini teruk di layan dengan kejam tanpa belas kasihan. Saban aku aku menangis, meengharapkan kehadiran baginda untuk kembali membebaskan aku yang terikat dengan belenggu perhambaan. Aku rindu untuk bertemu baginda! Aku rindu! Aku mahu bebas! Aku benci dengan kemungkaran tuanku!


Tapi andai terjadi baginda kembali, aku malu. Aku malu dengan keadaan masyarakatku. Aku malu kerana tidak dapat meneruskan pekerjaan keturunanku dahulu yang melata di seluruh alam menceritakan tentang kehebatan dan kemuliaan baginda. Aku sudah terikat di sini. Mulutku terkunci untuk berbicara pada tuanku. Aku takut aku bakal disebat. Sudahnya aku terpaksa menelan setiap kemungkaran yang tuanku lakukan di hadapanku. Aku tidak mahu tunduk tapi natijahnya aku disiksa lebih teruk. Hanya air mata dan benci yang membuak dalam hati menjadi bukti perasaanku yang makin sakit. Aduhai, apa yang perlu aku katakan pada Rasulullah jika ditanya tentang ini? Sungguh aku malu! Aku malu dengan baginda yang aku rindu. Aku malu…..

Semalam sahabatku tiba melawat aku yang keletihan. Simpatinya mengalir laju melihat penderitaanku. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Badanku masih sakit-sakit. Alhamdulillah, hari ni tuanku keluar kota. Lalu, aku punya masa untuk berehat sebelum kembali dikerah bekerja.


“Sabarlah, ini ujian buatmu. Moga Allah tempatkan kau di tempat yang mulia di sisinya,”
Dalam diam aku mengaminkan doa sahabatku. Tersentuh hati melihat keprihatinannya. Ruang sunyi yang melingkungi kami tiba-tiba pecah dek laungan dari luar tempat rehatku. Kami terpana. Bunyi apakah itu? Rakanku segera merapatkan dirinya ke dinding dan mengintai ke luar.


Terlihat di luar, segerombolan manusia sedang berarak penuh semangat bersama sepanduk-sepanduk yang besar. Mereka melaung-laungkan sesuatu. Kami menekun mencari makna laungan mereka bersama.


“ Solallahu ala Muhammad, solallahu alaihi wassalam…”


“Ya nabi salam alaika, ya rasul salam alaika… Ya habibi salam alaika…”
Aku terpaku!


“ Sahabat, adakah hari ini 12 rabiulawal ? “ tanyaku meminta kepastian.


“ Ya, benar. Kenapa? ” balasnya


Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa menyambut hari kelahiran kekasihku Muhammad Rasulullah ini??!! Aku pantas bangun sambil membersihkan badan yang bertampuk tanah lantas segera menapak keluar.


“ Eh, kemana kau mahu pergi? Kan kau tidak sihat?” halang sahabatku.

“ Aku mahu mengikuti mereka meraikan maulud rasulku. Aku cintakan baginda. Mana mungkin aku terlepas hal ini. Kerana bagindalah, aku kekal bertahan menerima siksaan tuanku. Aku mahu jadi seperti baginda. Tabah dan cekal. Aku mahu raikan hari ini. Aku dah sihat!” Kataku penuh semangat waja seperti tidak pernah sakit sebelumnya.


Sahabatku tersenyum sebelum kembali berkata “ Subhanallah, tinggi benar cintamu pada baginda. Moga kau sentiasa berada di bawah rahmat Allah kerana mencintai kekasih-Nya lebih dari dirimu sendiri. Pergilah. Moga kau ketemu cinta di sana.”


Aku mengucapkan selamat tinggal sebelum bergegas menuju ke kumpulan manusia yang berarak sebentar itu. Hatiku berbunga-bunga riang. Rasulullah, aku datang sekarang…

“Pak cik, unta siapa terlepas ni?“ teriak seorang anak muda berbaju jubah putih yang sedang memegang sepanduk bertulis “Road To Maulud Rasul”


Semua orang yang mengikut perarakan Maulidur Rasul menoleh ke belakang. Jelas di mata mereka ada seekor unta sedang bergerak mendekati rombongan. Mereka terkejut. Laungan terhenti seketika dan jemaah semua membuka jalan seperti memberi laluan untuk si unta. Tapi aneh. Ketika semua berhenti, unta itu turut berhenti. Setelah lama memastikan unta itu tidak bergerak, mereka kembli meneruskan perarakan. Rupanya unta itu turut sama menyertai mereka berjalan.


Jemaah perarakan kehairanan. Pelik sungguh unta ini. Ia tidak kelihatan seperti mahu menerjah kemarahan. Tapi riaknya seperti teramat gembira. Mulut unta itu terherot-herot seperti menyebut sesuatu. Seakan-akan dia turut sama menjadi ahli dalam rombongan perarakan Maulud Nabi. Kehadiran seekor unta yang sama mengikuti rombongan tersebut menyebabkan orang ramai di pekan itu keluar melihat perarakan yang agak luar biasa.


“Biarkan unta itu. Dia juga mungkin rindukan Rasulullah,” terang ketua perarakan sebelum kembali melaungkan selawat ke atas baginda.


Sepanjang perjalanan, unta itu mengikut rombongan mereka berarak. Malahan, ada kanak-kanak yang turut serta menjadikan unta itu sebagai tunggangan mereka. Gelak tawa menghiasi suasana di pekan kecil sewaktu perarakan berlangsung. Angin menyapa mesra bersama makhluk alam yang turut sama meraikan Hari bersejarah ini. Benarlah, Muhammad itu manusia yang mulia. Betapa seluruh alam rindu padanya.

~Penulis merupakan seorang pelajar tahun dua jurusan perubatan di Jordan Uni. of Science and Technology.Beliau boleh dikunjungi di http://www.aurisshaira89.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment