Wednesday, July 8, 2009

Kepentingan Meniliti Sumber Ilmu
www.iLuvislam.com
oleh : fuadsyazwan



Sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita pada hari ini, menyebar sebarang berita atau riwayat berunsur Islamik tanpa mengambil kira sumber bahan itu diperoleh. Bahan-bahan ini sesetengahnya, jika diteliti dengan baik, hanyalah satu kisah rekaan yang jelas tiada asas dalam agama Islam. Kecenderungan ni sebenarnya dipengaruhi oleh keghairahan untuk berkongsi bahan-bahan yang kononnya berunsur Islamik.

Perkara ini merupakan satu fenomena yang amat mengancam kesucian Islam itu sendiri. Kerana kisah-kisah ini sebenarnya telah mengotori kesucian agama Islam yang setiap sumbernya, yakni Al Quran dan As-Sunnah, dipelihara melalui rangkaian sanad yang bersambung terus kepada Rasulullah, wakil Allah di muka bumi. Kisah-kisah yang sering menjadi pilihan untuk disebarkan sudah tentulah kisah-kisah alam ghaib. Lebih menarik, apabila disertakan dengan kata-kata Allah sebagaimana kisah ini:


Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...

Dia bertanya kepada Tuhan : " Para malaikat disini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya kedunia, tetapi bagaimana cara saya hidup disana; saya begitu kecil dan lemah ?"

Dan Tuhan menjawab: "Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan menjaga dan mengasihimu ."

Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini; didalam syurga ini, apa yang saya
lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa...Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia."

"Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"



Menarik, bukan? Sebuah riwayat yang menceritakan perihal manusia sebelum dibangkitkan ke muka bumi. Tapi, bagaimanakah kisah ini sampai ke pengetahuan manusia? Siapakah yang meriwayatkannya? Jika diteliti, tiada sebarang dalil Al-Quran mahupun As-Sunnah bagi menyokong kisah ini. Kisah ini tidak lain hanyalah sebuah rekaan, yang dicipta bagi memesongkan akidah umat Islam. Bukankah kanak-kanak kecil bermain-main dalam taman Syurga itu merupakan budaya dalam agama Kristian? Firman Allah,


"Maka tidak ada Yang lebih zalim daripada orang Yang berdusta terhadap Allah atau Yang mendustakan ayat-ayatNya. orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa Yang telah tersurat (bagi mereka)" (Al A’raf 7:37)


Kisah-kisah seperti ini, tidak ada kebaikannya untuk disebarkan kepada khalayak umum. Dan sepatutnya, sumber kisah ini diperoleh terlebih dahulu sebelum disebarkan. Lupakah kita bagaimana ulamak-ulamak dahulu begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis? Ulamak terdahulu tidak menerima bulat-bulat sebarang kisah atau riwayat yang berunsur Islamik walaupun dari sudut akalnya betul, tetapi jka sumbernya salah, maka riwayat itu akan ditolak. Para ulama sepakat mengatakan tidak harus dijadikan sebagai hujah bagi menyabitkan sesuatu, sebab ia tersenarai di dalam kategori “Muhdathat” atau perkara baru yang diada-adakan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,


"Adapun sesudah itu, maka sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah Kitab Allah (al-Quran), dan petunjuk yang paling mulia lagi utama (selepas al-Quran) adalah petunjuk Muhammad (s.a.w.), sementara itu perkara yang paling jahat ialah sesuatu yang diada-adakan . (Ingat) setiap perkara yang diada-adakan itu adalah sesat, dan tiap-tiap kesesatan itu (pasti dihumban) ke dalam neraka."
[hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhu]


Kerana itulah kita sepatutnya bersikap lebih berhati-hati dalam menyebarkan kisah seperti ini. Pahala yang dicari, namun dosa yang diperoleh. Kisah-kisah seperti penciptaan dunia, penciptaan malaikat, syaitan dan manusia, sering berlegar di kalangan masyarakat, tanpa dijelaskan asal kisah tersebut. Lebih teruk, apabila disertakan juga firman Allah, tanpa dinyatakan Hadis Qudsi atau ayat Al-Quran di mana firman itu diperoleh. Bukankah firman itu wahyu? Siapakah penulis ini yang mengetahui kata-kata Allah tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Hadis? Firman Allah,


"Dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan Yang benar, sedang mereka menyangka Bahawa mereka orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk."
(Az-Zukhruf 43:37)


Begitu juga dengan kisah para wali. Kita selalu ghairah menceritakan perihal wali ini dan wali itu terbang ke sana ke mari. Untuk apakah diceritakan semua ini dengan berlebihan? Kenapakah kita terlalu mendedahkan masyarakat dengan definisi yang salah mengenai karomah? Jika kita bertanya kepada anggota masyarakat mengenai karomah, sudah tentu mereka cenderung menjawab tentang kebolehan untuk terbang, solat di air dan sebagainya.

Adakah karomah itu sekadar ini sahaja? Sudah lupakah kita dengan kisah ulamak-ulamak muktabar? Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Nawawi, contohnya, tidak pernah kedengaran kisah mereka terbang, tetapi, karomah yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka jauh lebih hebat dari terbang. Karomah apa? Karomah akal yang hebat. Allah mengurniakan mereka akal yang hebat bagi membolehkan mereka mengarang kitab muktabar yang menjadi panduan umat zaman-berzaman. Kenapa karomah seperti ini tidak dihighlightkan dalam penulisan?

Sudah sampai masanya bagi kita, menilai semula kesahihan kisah-kisah yang kita baca. Zaman ini teknologi sudah hebat, dan kita boleh bertanya kepada ulamak yang berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari rumah kita dalam masa yang singkat. Oleh itu, bertanyalah dahulu kepada para alim ulamak, kerana sesungguhnya ulamak itulah pewaris para nabi, yang meneruskan usaha para anbiya’, berusaha mengeluarkan manusia dari kegelapan kejahilan. Firman Allah,


"..oleh itu Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui." (An-Nahl 16:43)


Sebelum menyebar sesuatu perkara, seseorang itu perlu melakukan beberapa perkara berikut:
• Mengesahkan kesahihan perkara tersebut di sisi syarak dengan ilmu nya yang sahih.
• Jika tidak mampu, bertanya kepada orang yang lebih tahu.
• Jika masih tidak mampu, wajib berdiam diri dari menyebarkan berita yang tidak sahih.

Abdulullah Ibn Mubarak pernah menyebut:
"Isnad itu sebahagian dari agama. Jika tidak ada isnad maka orang akan berkata sesuka hatinya".

Wallahua’lam

Muhammad Fuad Syazwan Ramli
Muslims For New World
29 Ogos 2007 الاسناد من الدين ، ولولا الاسناد لقال من شاء ما شاء

Monday, July 6, 2009

Mahasiswa Muslim



Sumber : http://www.e-ppms.org/index.php?option=com_content&task=view&id=767&Itemid=37

Mahasiswa Muslim. Saya ingin berkongsi pengalaman berkenaan gerak kerja dan kecemerlangan seorang mahasiswa muslim. Setelah beberapa ketika berpersatuan, saya ingin simpulkan 2 kualiti yang kita inginkan apabila mahu menjana dan menggerak kecemerlangan akademik dan menggarap keupayaan berpersatuan.


Fikrah Islam.
Syarat yang pertama untuk keberjayaan mahasiswa muslim ialah pada fikrah Islamnya. Maka apakah fikrah Islam itu? Seharusnya bukan saya yang selayaknya mendefinisikannya. Namun, apa yang saya faham fikrah( fikrah dari perkataan fikir, ataupun idea. Jadi ianya bersangkutpaut dengan ideologi) Islam ialah berusaha memahami syariat, dan berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan cara hidup Islam pada level kefahaman kita. Jadi, apabila kita berdepan dengan perkara baru, sedaya upaya kita mencari nas-nas dalam Al-quran dan Assunnah untuk kita membuat keputusan, seterusnya membuat menjalankan keputusan itu, seterusnya bertawakal kepada Allah.

Pada pengalaman saya, ramai dikalangan rakan yang mempunyai latar belakang sekolah agama ataupun berasrama penuh, mempunyai fikrah Islam yang baik dan sebahagian mereka komited sekali dengan persatuan Islam. sungguhpun begitu, terdapat juga kelemahan mereka untuk mentafsir unsur-unsur baru dan masalah-masalah baru dalam kehidupan. Sebagai contoh, ramai dikalangan muslim di asrama dahulu, cemerlang walaupun kaki tidur dan tidak pergi ke kelas. Namun begitu, apabila di universiti, mereka masih bersikap lama, walhal cabaran sudah bertambah. Ini menyebabkan walaupun sudah ada Islamic circle, sedikit sekali isu pengurusan akademik, isu pengurusan diri, penyelesaian kritis kepada masalah baru, disentuh dan diberi perhatian oleh muslim berfikrah Islam. bukan sedikit yang berfikrah Islam, lemah dalam akademik, lemah dalam aspek pengurusan persatuan Islam, gagal memanfaatkan perselisihan pandangan sebagai aspek pengayaan dalam cambah fikir, malah ramai juga tidak fokus dalam sesebuah projek.Fokus dalam sesebuah projek dan gerakkerja

Di satu sudut yang lain pula, saya berjumpa dengan sebahagian mereka yang muslim, namun begitu sudah luntur identiti muslimnya. Mereka masih menunaikan solat 5 waktu, membaca al-quran, namun untuk bersama berbincang mengenai masalah dan keperluan umat Islam setempat, mereka menjadi kaku dan tidak berminat, dek kerana fikrah lain sudah menguasai pemikiran. Fikrah ini boleh jadi bola sepak, boleh jadi hiburan, mahupun aspek kekayaan material tanpa asas agama. Namun begitu, mereka ini ramai yang fokus dalam aktiviti mereka. Mereka cemerlang dalam akademik mereka. Apabila diberi tugasan seperti menganjurkan majlis hiburan, majlis makan-makan, konsert, mereka akan berjaya melaksanakan tugasan ini. Mereka juga ada keyakinan diri dan mampu berinteraksi baik dengan rakan-rakan bukan Islam atau yang tidak sebangsa. Malah, saya merasa yakin mereka mampu untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya pada masa depan, dengan fokus dan sikap yang baik.

Siapa musuh kita? Sungguh kita melihat umat Islam diratah dan dibunuh, lemahnya kita dari segala bidang. Apa sebenarnya musuh kita. Adakah mereka yang berperasangka buruk kepada Islam dan mahu menghancurkannya?. Jawapannya tidak, bukan itu musuh kita. Musuh kita selaku mahasiswa ialah “MALAS”.Ya, kita malas untuk fokus.Kita malas untuk cemerlang dalam akademik, lantas kerja-kerja berpersatuan Islam kita jadikan alasan.Kita malas memahami ideologi-ideologi lain, lantas kita kafirkan semuanya sebagai jalan pintas.Kita malas bergaul dengan rakan-rakan bukan Islam dan tidak sebangsa, lantas kita terhadkan usrah dan dakwah kita pada yang muslim sahaja.Kita malas ingin mematangkan diri, lantas menjadikan alasan untuk tidak berumahtangga.Kita malas merancang kehidupan selepas graduasi, lantas menerima sahaja tawaran kerja dari mana-mana pihak walaupun tidak bersesuaian dengan kehendak kita.

Malas adalah musuh kita.Inilah cabaran kita dalam cemerlang dalam ibadah sebagai mahasiswa. Buangkanlah sifat malasmu, ambilkan fikrah Islam dan fokus dalam kerja dan pengurusan.Itulah intipatinya!

Friday, July 3, 2009



Kamulah Yang Tertinggi




Pembentukan fikrah dan pemikiran Islamiyyah yang berjaya terpasak atas empat kriteria utama iaitu yakin penuh dengan ajaran Islam selari seiring dengan keikhlasan dalam usaha menegakkannya, punyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya.

Keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Inilah ciri-ciri yang patut menjadi darah daging dalam diri setiap pemuda-pemudi Islam.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Itulah sebabnya mengapa pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji Islam.


إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)


Kita bukan sekadar pelajar universiti yang menghadapi banyaknya subjek dan peperiksaan yang perlu diduduki tetapi kita jugalah adalah pemuda-pemuda Islam yang akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kita itu akan menjadi bertambah berat.

Oleh itu sepatutnya kita akan lebih berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kita jualah yang menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan masyarakat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan menamakan kita angkatanNya, dengan mengurniakan iman serta mendidik kita atas dasar agamanya.

(Ali-Imran:110):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.


Tentukanlah matlamat dan haluan kita. Persiapkan penjuru dan posisi masing-masing.Perbaiki kelemahan dan berusahalah untuk belajar memberi manfaat kepada orang lain. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukmin.

Kamulah yang tertinggi, jika kamu beriman.

(olahan daripada petikan catatan al-Syaheed Hassan Al-Banna)