Friday, February 27, 2009

ALLAH S.W.T. Maha Mengetahui Apa Yang Baik Untuk CiptaanNya.



Oleh: Hilal Asyraf

http://langitillahi.blogspot.com

Sesungguhnya ALLAH S.W.T. itu Maha Mengetahui bahawa manusia yang diciptakan olehNya itu bagaimana. DIA tahu betapa lemahnya manusia, dan DIA juga tahu kekuatan manusia itu berada di mana. Sebagai PENCIPTA manusia, DIAlah yang paling tahu, apakah yang buruk bagi manusia, dan apakah pula yang buruk untuk manusia. ALLAH S.W.T. ada berfirman,

“ Mungkin apa yang kamu tak suka tetapi perkara itu baik bagi kamu, mungkin juga apa yang kamu suka, tetapi perkara itu buruk untuk kamu, dan ALLAH itu tahu, dan kamu semua tidak tahu”

ALLAH menurunkan ISLAM, yang bukan sahaja bertindak memenuhi spiritual manusia, tetapi juga akal dan jasad. ISLAM bukan sahaja agama, tetapi merupakan satu sistem kehidupan. Bukan sahaja satu peraturan, tetapi juga satu tatacara untuk mengajak manusia menghayati kehidupan yang sebenar.

ALLAH amat mengenal manusia. Bila berlaku masalah dan cabaran, atau dugaan serta ujian, manusia akan menjadi lemah. Tanpa petunjuk manusia akan menjadi songsang. Hidup manusia, jika tidak mempunyai hala tuju, maka akan cenderung kepada kehancuran.

Manusia itu sendiri fitrahnya memerlukan pegangan. Hatta ateis(satu pegangan yang tidak percayakan tuhan) juga merupakan pegangan. Justeru manusia telah mengorak langkah sendiri, membina kefahaman masing-masing, dan membina peraturan hidup sendiri.

Tetapi semua itu tidak cukup untuk membeli bahagia.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan denagn pemikiran manusia sendiri. Kerana manusia hanya mampu berfikir sebatas pemikiran mereka. Ada satu kata-kata,

“ Bagaimana yang memerlukan, boleh bergantung kepada yang memerlukan?”

Sindiran sinis kepada manusia sebenarnya, yang merasakan mereka mampu menjaga kehidupan mereka, tanpa pergantungan kepada ALLAH S.W.T.

Cuba kita lihat ke belakang sebentar,

Apabila ISLAM mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW, dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuklah 'Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Aqidah tauhid ini menjadi keyakinan dalam jiwa mereka. Menyebabkan mereka, walau digempur tentangan yang menggunung, walau ditampar badai yang menggulung, tetap utuh meneruskan kehidupan, tetap ampuh memikul perjuangan sehingga kemenangan berpihak kepada mereka.

Kita sendiri tahu, kehidupan para sahabat bersama Rasulullah S.A.W. adalah kehidupan yang amat bahagia, tenang dan menyenangkan. Apakah sistem kehidupan yang mereka pakai? Mereka menggunakan sistem ISLAM, yang diturunkan oleh ALLAH S.W.T. yang Maha Tahu akan hal manusia.

Nah… kalau manusia yang digempur dugaan hebat boleh hidup bahagia dan lapang jiwa dengan mengambil ISLAM, apa lagi manusia yang hidupnya bukan dalam keadaan digempur hebat.

ISLAM memang istimewa. Hadiah ALLAH untuk manusia sebenarnya.

Anda tak ingin mengambil ISLAM sebagai cara hidup?

Bagaimana anda hendak bahagia dengan sebenarnya?

Bahagia di dunia, tenang dan senang di dalamnya, kemudian bahagia pula di akhirat, bahagia kekal abadi di sana.

Monday, February 23, 2009

حكمة الشيوخ في حماسة الشباب



“ Oleh itu dari dahulu hingga sekarang, pemuda adalah tiang-tiang kebangkitan. Dalam setiap kebangkitan, pemuda adalah rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah pemuda adalah pengibar panji-panjinya..”

- As-Syahid Imam Hasan al-Banna -

“ Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah..”

- As-Syahid Imam Hasan al-Banna -


Ya Allah, Sediakan bagi ummat ini para pemuda yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang terdahulu sebelum mereka. Semoga merekalah orang-orang yang akan mengembalikan kekuasaan daulah Islamiah, kemuliaan dan keagungan bagi ummat Muhammad..

- Dr. Abdullah Nasih Ulwan -


Kita merasa cukup gembira melihat bunga yang sedang mekar itu (generasi muda). Kita benar-benar menghargai, menyanjungi dan menyintai mereka dan kita bertanggungjawab terhadap mereka. Kita wajib mengemukakan pengalaman-pengalaman kita supaya mereka bermula di mana kita telah sampai, supaya sempurnalah percantuman di antara dua generasi. Generasi yang telah tua dan generasi yang baru muncul. Kelak diharapkan mereka mewarisi amanah ini secara keseluruhan, kemurniaanya dan iltizam dengan kitab Allah s.w.t. serta sunnah Rasullah s.a.w. juga sunnah salafussoleh r.a..

- Syeikh Mustafa Masyhur -


Sesungguhnya aku amat merindui seorang pemuda yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummat..

- As-Syahid Imam Hasan al-Banna -


Golongan muda yang suci hatinya dari segala noda, bersih hatinya dari segala dosa dan menjauhi adat lapuk pusaka usang jahiliyah. Mereka dididik dengan didikan islam yang sebenar dan akidah tauhid yang sejati dan kemuliaan Islam serta berada di dalam barisan yang bersatupadu dan tersusun..

- Muhammad Ahmad Ar-Rashid -


Jangan kamu rasa rendah diri kerana mudamu..

- Ibnu Syihab Az-Zuhry -

Monday, February 16, 2009

Wasiat ke6 Al-Banna..

Janganlah bergurau kerana umat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara, demikian wasiat Hasan al-Banna.

Selepas mewasiatkan supaya kita tak banyak ketawa, maka asy-Syahid Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam yang benar-benar ingin berdakwah dan berjihad di jalan Allah agar tidak banyak bergurau dalam pergaulan sehariannya.

Menurut beliau, umat yang berjuang itu selalu sibuk bermuhasabah mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Masalah yang membelenggu umat Islam terlalu banyak, sedangkan mereka yang ingin menyelesaikan masalah tersebut tidak ramai.
Sekiranya umat Islam banyak bergurau maka sudah pastilah masalah-masalah umat Islam itu tidak mudah diselesaikan. Sebab itulah beliau menyeru kita agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

Bersungguh-sungguhSabda Rasulullah s.a.w, 'Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.' (Riwayat Abu Daud).
Menurut hadis ini, apabila seseorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah s.w.t.

Mungkin kita tertanya-tanya, kenapakah Allah s.w.t sukakan Muslim yang bersikap tekun dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya? Mungkin.. salah satu sebabnya ialah kerana Tuhan sendiri bersikap tekun dan bersungguh-sungguh tatkala Dia mencipta makhluk dengan serba kesempurnaan.
Hal ini disokong oleh sebuah hadis lain; "Sesungguhnya Allah itu cantik dan indah. Dan, dengan sebab itu, Dia sukakan keindahan.."
Barangkali.. sebab itu juga Tuhan benci manusia yang 'mencacatkan' kesempurnaan ciptaanNya. Jika lelaki menukar jenisnya kepada wanita dan wanita pula menukar jenisnya kepada lelaki, maka hal itu termasuk dalam kategori 'mencacatkan' kesempurnaan.

Demikian juga.. kalau kita menukar wajah rupa paras muka bumi yang serba hijau dengan tumbuh-tumbuhan sehingga porak-peranda atas alasan pembangunan, maka berlakulah ketidaksempurnaan dengan kejadian bukit runtuh dan sebagainya.
Betapa berhati-hatinya Tuhan dalam penciptaanNya, dapatlah kita gambarkan menerusi al-Quran sendiri. Kerapkali disebut bahawa Allah s.w.t menyusun, mencipta alam ini dalam tempoh 6 hari, 6 masa atau 6 fasa. Hal yang sama turut diungkap pada awal-awal ungkapan sebagai yang tertera dalam Perjanjian Lama.

Oleh kerana, sikap berhati-hati, tekun dan bersungguh-sungguh ini adalah sifat Tuhan ketika menciptakan alam ini, maka sebab itulah Tuhan menyukai Muslim yang suka bersungguh-sungguh, tekun dalam menunaikan pekerjaannya.
Terzahir sikap kesungguhan Tuhan itu dalam menzahirkan penciptaannya, sehinggakan Dia mempertahan kewujudan makhluk ciptaanNya yang bernama manusia walaupun keputusan mewujudkan khalifah tersebut dipersoalkan oleh para malaikat.

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [Al-Baqarah: 30]

Maka, sikap bersungguh-sungguh, tekun membuat pekerjaan itu bukan cuma terletak pada sikap suka menyempurnakan kerja kita sehingga selesai. Malah, jika pekerjaan kita yang baik itu disanggah orang, maka kita akan tentu berusaha keras mempertahankannya!
Sikap kesempurnaan tindak tanduk Tuhan inilah yang perlu dicontohi oleh para dai'e, pendakwah dan mubaligh Islam ketika berusaha keras menyebarkan dakwah mereka walaupun ada tekanan penguasa dan pemerintah yang zalim dan kejam.

Pendakwah yang bersungguh-sungguh dan tekun berdakwah pasti tidak akan mengalah, malahan akan terus berjuang walaupun usaha dakwah mereka akan disekat dan dibantah pemerintah!

Tuhan sukakan Muslim yang bersungguh-sungguh membuat kerja yang baik, apatah lagi, kalau pekerjaan itu terkait dengan urusan dakwah Islam, menyebarkan kefahaman Islam. Ketekunan berceramah, menulis dan mengarang bahan-bahan ilmiah akan menyebabkan umat itu terlepas bebas daripada belitan tipu daya penguasa yang sombong dan zalim.

Tuhan tidak menyukai pendakwah yang mengalah, patah hati, kecewa dan merajuk sehingga meninggalkan usaha dakwah ke atas umatnya. Sebab itulah Tuhan merakam kisah Nabi Yunus a.s ditelan ikan Nun setelah baginda meninggalkan dakwah ke atas kaumnya sebagai suatu pengajaran.

Namun begitu, perihal taubat Nabi Yunus dalam al-Quran turut dirakam agar para pendakwah segera bertaubat jika mereka mengalah terhadap sebarang usaha pemerintah yang menyekat dakwah tersebut.


sumber: www.harakahdaily.net

Wednesday, February 11, 2009

Doktor Kanak-Kanak yang digeruni


Nama Syeikh Ahmad Yassin tidak akan lengkap tanpa digandingkan dengan tokoh seperjuangannya. Beliau tidak lain dan tidak bukan ialah Dr. Abdul Aziz al-Rantissi. Sebagai timbalan kepada Syeikh Ahmad Yassin di dalam gerakan HAMAS, beliau juga dilihat sebagai tokoh perjuangan rakyat Palestin mewakili golongan profesional. Berikut adalah serba sedikit profil mengenai tokoh yang telah mengatakan : “Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian. Jika saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache”. Beliau telah mendapatkan apa yang beliau hajati!

Abdul Aziz Ali Abdul Majid al-Rantisi dilahirkan pada 23 / 10 / 1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak di antara Asqalan dan Jaffa di dalam sebuah keluarga yang kuat beragama. Keluarganya telah dipaksa untuk berhijrah ke Gaza selepas peperangan 1948 dan menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama para puluhan ribuan pelarian yang lain, pada waktu itu umurnya hanya berusia enam bulan. Di perkhemahan tersebutlah beliau membesar bersama sebelas orang adik beradiknya yang lain (sembilan lelaki dan dua orang perempuan).
Dynamic Duo Dalam Kenangan..

Sebagai seorang yang mempunyai otak yang cerdik beliau amat cemerlang di dalam pembelajarannya. Ketika baru berusia enam tahun sahaja beliau telah memulakan persekolahannya di salah sebuah sekolah di kawasan perkhemahan tersebut. Di usia sebegini muda juga beliau terpaksa bekerja demi menampung perbelanjaan keluarganya yang besar dan miskin dan juga kehidupan mereka yang amat perit di kawasan perkhemahan yang serba daif. Pada tahun 1965 beliau telah menamatkan pembelajaran menengahnya dan melanjutkan pelajarannya ke Fakulti Perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir. Di Fakulti tersebut beliau telah lulus dengan cemerlang dan telah menamatkannya pada tahun 1972 . Pada tahun 1976 beliau telah mengakhiri pelajarannya di peringkat sarjana (master) dalam pengkhususan peditriasi (perubatan kanak-kanak), dan memulakannya kerjanya sebagai doktor perubatan di Hospital Nasir (Pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus).

Bapa kepada enam orang anak (dua lelaki dan empat perempuan)dan sepuluh orang cucu ini telah mula aktif dengan gerakan islam dan aktiviti-aktiviti Islam semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau amat aktif dengan kerja-kerja amal, kebajikan dan dakwah seawal beliau memulakan perkhidmatannya di Khan Yunus. Antara penglibatan awalnya ialah sebagai jawatankuasa di peringkat pusat Majma Islamiy (sebuah pertubuhan islam di Gaza), pimpinan persatuan doktor-doktor Arab cawangan Gaza dan juga antara pihak pengurusan pertubuhan bulan sabit merah Palestin. Beliau juga telah berkhidmat sebagai pensyarah di dalam bidang perubatan kanak-kanak dan juga biologi di Universiti Islam Gaza bermula dari tahun 1978.

Pada tahun 1983 beliau telah dipenjarakan buat kali pertama kerana enggan membayar cukai kepada kerajaan Zionis Israel. Pada 5 / 1 / 1988 beliau telah dipenjarakan buat kali kedua selama 21 hari di atas kesalahan yang sama. Keengganan beliau membayar cukai tersebut kerana kengganannya mengiktiraf penjajahan Israel terhadap bumi tercintanya Palestin. Ketegasan beliau ini merupakan bibit-bibit yang membawa kepada pembentukan keperibadiannya sebagai pemimpin sebuah gerakan Islam yang berjaya menggoncang Israel di masa-masa mendatang.

Bersama dengan rakan - rakan seperjuangannya yang membawa aspirasi perjuangan Ikhwanul Muslimin beliau telah mengasaskan gerakan HAMAS pada tahun 1987 untuk memulakan kembali penentangan bersenjata terhadap Israel yang telah lama ditinggalkan oleh orang-orang Arab dan kaum muslimin. Gerakan ini telah berjaya meletuskan gerakerja baru di dalam metod penentangan terhadap rejim Zionis. Gelombang Intifadah yang telah diilhamkan oleh gerakan HAMAS telah membawa anak-anak muda Palestin untuk keluar ke jalan-jalan raya untuk bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Pembunuhan tentera-tentera Israel dan juga kemusnahan yang minor berjaya dilakukan oleh HAMAS. Operasi-operasi ketenteraan terhadap konvoi tentera Israel juga telah menggegarkan keutuhan tentera rejim Zionis buat pertama kali selepas mereka berupaya untuk berehat buat bertahun-tahun lamanya selepas kerajaan-kerajaan Arab telah mula meletakkan senjata mereka.

Buat kali ketiganya beliau telah dipenjarakan pada 4 / 2 / 1988 kerana keterlibatannya dengan HAMAS yang didakwa oleh Israel sebagai tindakan pemberontakan yang subversif. Selepas dua tahun setengah dipenjarakan, akhirnya beliau telah dibebaskan pada 4 / 9 / 1990. Sayangnya tiga bulan selepas itu beliau telah dipenjarakan sekali lagi iaitu pada 14 / 12 / 1990 selama setahun. Walaubagaimanapun, peluang beliau dipenjarakan buat kali keempat ini merupakan sesuatu yang bertuah. Beliau telah ditempatkan di dalam satu sel bersama Syeikh Ahmad Yassin, bapa perjuangan HAMAS dan juga ikon perjuangan rakyat Palestin. Peluang itu diambil olehnya untuk menghafal al-Quran. Ketika itu jugalah beliau telah membina replika masjid al-Aqsa dengan menggunakan kotak-kotak terbuang yang masih boleh dilihat sehingga kini di meja di rumahnya beliau di bandar Gaza. Di dalam penjara itu jugalah beliau banyak menghasilkan syair-syair perjuangan. Tidak hairanlah selain daripada ahli politik dan pemimpin HAMAS beliau juga amat dikenali sebagai seorang penyair.

Selepas dibebaskan pada penghujung 1991 beliau meneruskan aktiviti-aktiviti untuk membebaskan bumi Palestin tanpa mengenal erti putus asa. Usaha rejim Zionis untuk melunturkan semangatnya dengan memenjarakan beliau tidak berhasil, malah beliau bertambah bersemangat dan gerakan HAMAS semakin bertambah kuat. Rejim Israel Zionis yang telah mula buntu akhirnya menghalau keluar 400 para pejuang kemerdekaan Palestin yang terdiri daripada para pejuang HAMAS dan juga gerakan Jihad Islami pada 17 / 12 / 1992 ke Marja Zuhur di Selatan Lubnan. Pada waktu itulah bintangnya mula menyinar di peringkat antarabangsa bilamana beliau telah menjadi juru bicara para mub?adin? (orang-orang yang diusir) untuk berbicara dengan para wartawan. Ini kerana kefasihannya di dalam Bahasa Inggeris berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Penonjolannya ini telah mewujudkan hubungan baiknya dengan para wartawan sehingga hari sebelum beliau syahid. Beliau amat disenangi oleh para wartawan, dan pintu apartmennya sentiasa terbuka kepada para wartawan dan jurnalis. Ini juga amat penting bagi HAMAS, memandangkan beliau merupakan pemimpin politik bagi gerakan tersebut (manakala Ahmad Yassin sebagai pemimpin spiritual mereka).
Sekembalinya beliau dari Marja Zuhur ke Gaza, beliau telah dipenjarakan oleh pihak rejim sehingga tahun 1997. Selepas keluar dari penjara tersebut, dalam tempoh tidak sampai setahun pihak berkuasa autonomi (Palestinian National Authority-PNA) yang diketuai oleh Yassir Arafat pula telah memenjarakan Dr. Rantisi pada 10 / 4 / 1998. Selepas 15 bulan dipenjarakan, akhirnya beliau telah dibebaskan kerana kematian ibunya. Walaubagaimanapun selepas itu beliau telah dipenjarakan sekali lagi sebanyak tiga kali oleh PNA. Beliau telah dibebaskan buat kali terakhir kerana dua sebab, pertamanya kerana beliau melancarkan mogok lapar, dan selepas jet pejuang Israel menyerang para tahanan di penjara milik PNA. Pembebasannya buat kali terakhir itu mengakhiri tempoh 27 bulan beliau dipenjarakan oleh PNA.

Kebolehannya boleh berbahasa Inggeris menyebabkan beliau digemari wartawan Barat
Pembebasannya itu bagaikan satu rahmat bilamana Syeikh Yassin sebelum itu telah pun dibebaskan juga. Dengan gabungan dua ikon perjuangan Palestin ini gerakan HAMAS menjadi bertambah mantap dan mendapat momentum perjuangan yang lebih kuat dari sebelum itu. Intifada gelombang kedua pada penghujung tahun 2000 sebagai satu bukti kekuatan HAMAS semakin bertambah. Strategi bom syahid yang diinovasikan oleh HAMAS semakin bertambah saban hari dan menjadikan penduduk Yahusi Zionis hidup dalam ketakutan dan memaksa ramai di antara mereka untuk berhijrah semula pulang ke tanah air asal mereka. Dianggarkan lebih 50,000 rakyat Israel yang keluar negara tidak pulang semula ke Israel semenjak tahun 2000. Dr. Rantisi juga sering ditemui oleh para wartawan dari serata dunia dan berjaya menyampaikan mesej perjuangan kemerdekaan mereka de seluruh dunia. Ini amat menggerunkan Israel, malah Amerika yang ingin memaksa dunia untuk melihat HAMAS sebagai perjuangan pengganas yang radikal.



Gugurnya seorang pejuang....
Pada 10 Jun 2003, Israel dengan taktik bacul dan biadapnya telah melancarkan percubaan membunuh Dr. Rantisi dengan membedilnya dengan roket yang dilancarkan oleh helikopter Apache mereka. Serangan itu menemui kegagalan apabila Dr. Rantisi dan anaknya yang masih kecil berjaya menyelamatkan diri mereka, namun kereta yang mereka naiki hancur dimamah oleh letupan roket tersebut. Serangan tersebut telah dibalas oleh HAMAS dengan siri serangan- serangan yang telah menggegarkan hati setiap warga Zionis. Ketika berada di atas katil hospitalnya, beliau mengatakan "Hanya perjuangan bersenjata sahaja yang akan dapat memerdekakan bumi Palestin kita". Selepas syahidnya Syeikh Ahmad Yassin pada 22 / 3 / 2004 beliau telah dilantik menjadi pemimpin HAMAS di wilayah Gaza dan berjanji untuk membalas dendam di atas kematian Syeikh Ahmad Yassin. Ketika ditemu ramah oleh salah sebuah badan berita antara bangsa, tidakkah dia takut yang dia pula akan menjadi mangsa buruan tentera Zionis yang seterusnya, dia menjawab "Buat apa kita takutkan kematian, semua manusia akan mati, samada kerana dibunuh ataupun kerana sakit. Jika saya diberikan peluang untuk memilih samada ingin mati kerana sakit jantung ataupun kerana (ditembak oleh) Helikopter Apatche, saya memilih helikopter Apatche".
As-Syahid Dr Aziz pergi menemui Allah dengan haruman syurga, insyaAllah

Pada hari Sabtu, 17 April 2004, bersama dengan dua orang rakannya beliau telah menemui Allah S.W.T sebagai seorang syahid menyusul pemergian Syeikh Ahmad Yassin apabila kereta yang beliau naiki telah dibedil dengan roket dari helikopter Apache oleh pihak rejim Zionis di jalan al-Jallaa di wilayah Gaza. Rejim Israel Zionis menyifatkan Dr. Abdul Aziz al-Rantisi sebagai salah seorang pemimpin pengganas yang perlu dihapuskan demi menjamin keselamatan rakyat Israel dan kedamaian di kawasan tersebut. Tidak hairanlah dua minggu sebelum peristiwa tersebut empat buah helikopter Apache berlegar-legar di ruang udara Gaza untuk mencari Dr. Rantisi.

Kredit kepada:
http://www.palestinkini.info/

Monday, February 9, 2009

NOTA KEPADA MAHASISWA


Saudara-saudari yang dirahmati.. perhatikan tiga kalimat ini.. Keberanian, Kejujuran, dan Kebijaksanaan. Jika gabungan ketiga-tiga kalimat dan ungkapan ini akan selalu hidup bernafas dan menyala dalam hati sanubari kita, ia tentulah dapat mengembang keyakinan untuk terus hidup bernyawa dengan merdeka dalam memperjuang demokrasi universiti.

Sejak sekian lama, hidup kita diburu ketakutan. Masalahnya sekarang, bukanlah tiada orang yang cerdik dan bijaksana antara kita. Tapi, kebijaksanaan itu tidak didokongi oleh keberanian. Kalau ada kebijaksanaan yang didokongi keberanian, maka sifar kejujuran itu atau penyakit sifar keikhlasan itu akan membunuh perjuangan itu sendiri.
Oleh itu, berwaspadalah agar sentiasa wujud dalam diri kita nilai-nilai seperti ini. Sesiapa sahaja yang memiliki ketiga-tiga nilai seperti ini, maka dia tidak mudah ditipu, disesatkan oleh sesiapa, insya Allah. Isu selanjutnya yang harus dibicarakan selepas ini ialah..
Bagaimanakah cara kita mendapatkan sifat-sifat seperti ini, dan bagaimanakah kita mahu mencipta, memunculkan sosok-sosok mahasiswa sekali gus mencetak watak-watak yang unggul sebegini?
Barangkali.. jawapan yang saudara-saudara temukan dalam nota ini tidaklah tepat. Tetapi, ia setidak-tidaknya ia bolehlah menjadi sandaran dan rujukan untuk mencapai satu fikiran yang lain pula, insya Allah. Apa yang saya ingin cadangkan ialah..
Persekitaran demokrasi yang sihat. Betapa kita perlu tegakkan kembali demokrasi di dalam universiti. Universiti-universiti kita ini perlu bebas daripada segala cengkaman manusia politikus, politik kepartian. Kita boleh berhubungan dengan mereka. Tetapi, untuk mereka masuk campur dalam urusan pemilihan NC, TNC, Dekan, maka hal itu perlu dielakkan sama sekali.
Catatan nota ini menyandarkan harapannya kepada pelajar sebagai golongan yang paling ramai untuk menggalas perubahan tersebut. Persekitaran demokrasi yang sihat, juga sifat autonomi universiti yang unggul akan dapat melahirkan 'nabi-nabi dan rasul-rasul' pilihan di dalam universiti kita pada hari ini.
Sejarah membuktikan bagaimana sunnatullah telah bertindak dalam hal begini. Tarbiyyah akliah berlaku secara falsafah ketika Nabi Ibrahim a.s mencari Tuhan semasa kecilnya di dalam sebuah gua. Baginda tersasar sehingga menyangka bintang-bintang cakerawala dan bulan matahari sebagai Tuhan pada awalnya.
Tapi, tanpa campurtangan sesiapa pun, akhirnya Ibrahim a.s telah menemui jalan Tauhid! Sunnatullah terus menjalankan misi tarbiyahnya dengan meletakkan anak baginda, Ismail a.s di sebuah tanah tandus yang langsung sifar daripada medan peperangan, percekcokan, dan pergeseran antara Rom dan Parsi.
Tiada lagi fahaman ideologi bertapak dan bertunas di lembah tandus itu melainkan ajaran Tauhid, warisan ajaran Ibrahim a.s itulah yang diamalkan mereka, melainkan sedikit dari kalangan mereka yang telah disesatkan.
Ketika ajaran Tauhid masih terpelihara di balik tulang sulbi nenek moyang Muhammad s.a.w sehinggalah kepada Ismail a.s, umat Yahudi telah tersesat oleh pelbagai ujian yang terperangkap oleh pelbagai tamadun, kaum dan bangsa luar yang liar falsafahnya.
Pertembungan dengan tamadun Mesir misalnya, pertembungan dengan amalan Fir'aun contohnya telah menyebabkan mereka kembali berputar daripada ajaran Tauhid Ibrahim a.s. Demikian kuatnya keinginan kepada sembahan kaum Fir'aun ini, sehinggakan kisah ini kerap disebut-sebutkan di dalam al-Quran.
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan." Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
"Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu".
Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain daripada Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?" [al-A'raaf: 138, 138, 140]
Beza bangsa Arab dan bangsa YahudiMaka, bangsa Arab masih terkepung di tanah tandus yang tujuannya untuk memelihara ajaran Tauhid itu agar tidak tercemar oleh perlagaan ideologi bawaan Rom dan Parsi.
Sedangkan bangsa Yahudi telah tercemar oleh segala bangsa-bangsa yang pernah mereka temui. Lihat kedegilan Yahudi. Walaupun Yahudi terbebas dari lembah sengsara jajahan Fir'aun, namun setelah menyeberangi Laut Merah, mereka masih tetap setia menyembah apa-apa yang disembah oleh penjajah mereka; Fir'aun.
Tapi, di tanah tandus di mana Nabi Ismail diletakkan, hanya nenek moyang Muhammad s.a.w yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan selebihnya pemuka Quraisy yang tersasar menyembah selain daripada Allah s.w.t.
Namun, kekuasaan ajaran Tauhid mengatasi ajaran sembahan berhala kerana pemegang kunci Kaabah masih berada di dalam genggaman warisan jurai keturunan nenek moyang Nabi Muhammad s.a.w.
Ekoran itulah program tarbiyah sunnatullah ke atas bangsa Yahudi bermula lagi dengan cara Tuhan mengepung mereka di Padang Teh selama 40 tahun supaya generasi sembah berhala itu digantikan dengan generasi Tauhid.
Ibnu Khaldun lewat Mukadimahnya menyebutkan bahawa adapun tujuan bangsa Yahudi itu diletakkan dalam keadaan sebegitu (40 tahun di Padang Teh) adalah supaya tidak akan terjadinya percampuran ajaran Tauhid dengan sembahan berhala oleh segala bangsa.
Akhirnya, program terawal ke atas Nabi Ibrahim ketika kecilnya, iaitu pengasingan tubuh dan jiwa di sebuah gua, diterapkan ke atas Ismail dan ibunya Siti Hajar di padang pasir di antara Safa dan Marwah, juga diterapkan ke atas bangsa Yahudi di Padang Teh.
Pengasingan demi pengasingan ini bertujuan melahirkan kekuatan-kekuatan, tenaga baru untuk memelihara akar tunjang Tauhid yang berkekalan sehingga ke negara akhirat.
Tiba masanya IPT 'diasingkan' daripada campurtangan politik!Maka, sudah tiba masanya (malah sejak dahulu) hal-ehwal pemerintahan dan perlantikan para pegawai universiti dikembalikan kepada universiti. Perebutan kuasa politik parti ini akan lebih memburukkan keadaan dan melahirkan kelemahan jiwa, menzahir sifat takut dalam menyatakan kebenaran. Kebijaksaan jadi tersimpan meredap dalam fikiran.
Yang rugi akhirnya adalah umat, rakyat dan masyarakat sekeliling universiti sendiri.
Saudara-saudari yang dikasihi.
Maka, sekali lagi, coretan ini berwasiat kepada anda terhadap tiga nilai-nilai universal ini; Kebijaksanaan, Kejujuran dan Keberanian. Ketiga-tiga kunci ini akan membolehkan anda semua mendapatkan kunci teragung iaitu menjelmakan Kebenaran.
Hanya bermodalkan Kebenaran, maka cita-cita teragung kita untuk mencetak masyarakat yang adil akan tercapai.
Ini kerana, Keadilan akan tercapai apabilan Kebenaran mula terzahir!


Sumber:
Ali Bukhari Amir

SERUAN MAHASISWA

Tanggal 27-29 Jun 2001,buat julung-julung kalinya,Persidangan Mahasiswa Malaysia Sejordan atau lebih dikenali sebagai PERTAMA telah diadakan dengan kejayaan menghasilkan beberapa resolusi yang melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di Jordan,isu-isu tanah air dan dunia ketika itu.

6 tahun berlalu..PERTAMA kali ke2 pula berlangsung di Mafraq pada tanggal 8 Februari 2008.

Kini,nafas PERTAMA tidak terhenti begitu sahaja di Mafraq..bertemakan "Ke Arah Kematangan Ideologi Mahasiswa Muslim",dibawakan secara langsung dari Dewan Al-Kindi Universiti Yarmouk tanggal 12-14 Februari 2009,PERTAMA sekali lagi membuka tirai persidangannya..membawakan perwakilan-perwakilan pelajar dari 6 buah negara iaitu Jordan,Mesir,Sudan,Syria,Arab Saudi dan Yaman dengan tajuk-tajuk kertas kerja yang pasti menjana pemikiran mahasiswa.Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang dibentangkan:

1. Feminisme Dan Islam; Huraian Suatu Ideologi Ciptaan ( Jordan )
2. IFC Dan Tuntutan KebebasanBeragama; Suatu Provokasi Khayalan? ( Mesir )
3. Yoga Dan Pengkid.Benarkah Islam Semakin Menyekat? ( Mesir )
4. MahasiswaDan Isu Semasa( Arab Saudi )
5. Islam Dan Terorisme; PenafianDan Kebenaran Di Sebaliknya ( Yaman )
6. Mempersonalitikan DiriDengan Acuan Dan Paradigma Seorang Daie ( Syria )

Didoakan PERTAMA kali ini tidak sekadar berjaya mencapai matlamatnya dari segi teori semata,malah dapat dipraktikkan dalam kehidupan mahasiswa Jordan khususnya. Semoga mahasiswa Jordan dapat mengekalkan semangat PERTAMA bukan sahaja di Dewan Al-Kindi Universiti Yarmouk,tetapi selagi anda bergelar mahasiswa Muslim.Salam bersidang kepada semua.

7 tanda anda AKAN GAGAL di universiti


Sempena musim 'persekolahan' yang baru bermula, pmk ingin berkongsi bersama anda beberapa tanda-tanda kegagalan di universiti; mari baca:)
Ungkapan kegagalan..kedengarannya menakutkan bagi sesetengah orang..tapi perlu diingat,
GAGAL bukan hanya bermaksud anda gagal mendapat segulung ijazah. Jika anda ada tanda2 ini anda mungkin masih boleh hadiri hari graduasi anda,tapi anda..



1. Gagal menjadi orang berilmu.

2. Gagal menjadi orang yang berkeyakinan tinggi.

3. Gagal menjadi seorang yang berkarisma dan boleh dihormati.

4. Gagal menyerlah.

5. Gagal memenuhi potensi sebenar diri sendiri.

6. Gagal mencapai cita-cita sebenar.

7. Gagal mencapai kejayaan dan kebahagiaan yang pernah diimpikan.

8. Gagal mengejar kekayaan.

9. Gagal dalam memenuhi impian dan harapan ibu bapa.

10. Gagal menjadi contoh yang baik kepada orang-orang disekeliling.



Jika anda sakit dan pergi berjumpa doktor,tentu doktor akan cuba mencari simptom2 penyakit yang anda ada. Jika anda ada beberapa simptom sekaligus untuk penyakit demam denggi contohnya,sudah hampir pasti anda sedang menghidap panyakit tersebut.



Sama seperti simptom2 yang bakal pmk kongsikan ini,jika anda ada lebih drpd 2 atau 3 simptom,lebih baik anda lakukan sesuatu..Jangan jadi orang yang gagal..

Selamat Kembali ke Sekolah :)

POSITIVE SELF-TALK


1. I control my thoughts,emotions and actions.
2. I am a good,valuable and worthy person.
3. I am capable of achieving the goals that I set for myself today.
4. I love myself so much.
5. I am responsible to myself.
6.I learn from mistakes and I can find opportunities for improvement and growth.
7. Everyday I am becoming more knowledgeable,more aware,more caring and more in control.
8. Regardless of what happen in my life,I have decided to be happy.

~selamat memulakan sesi persekolahan kepada semua siswa dan siswi yarmouk~

MARI 'DIAGNOS' Diri Kita



Keliru. Mungkin ini istilah paling tepat apabila melihat masih kurangnya kematangan mahasiswa Malaysia khususnya di Jordan hari ini. Ada yang menganggap ini isu yang subjektif untuk mengukur kematangan seseorang. Mungkin bukan semua, namun walaupun segelintir, tempias ketidakmatangan itu sedikit sebanyak mencerminkan peribadi dan jatidiri mahasiswa di sini. Adakah mereka sedar mereka bukan setakat pelajar, malah lebih dari itu? Adakah mereka sedar transisi yang mereka alami ketika meninggalkan alam persekolahan untuk menjejakkan kaki ke menara gading yang diimpikan? MAHASISWA, se’gah’ nama, sebesar itulah peranan dan tanggungjawab yang tergalas di bahunya.Tiada tafsiran secara eksplisit menjelaskan pengertian sebenar mahasiswa.
Namun, umum mengetahui, mahasiswa merupakan suatu golongan pelajar post secondary education (pengajian tinggi dan universiti) dalam usia yang sedang mengalami peralihan dari tahap remaja ke tahap dewasa. Peribadi seseorang yang bergelar mahasiswa juga kental dengan nuansa kedinamikan, mempunyai sikap keilmuan, dan pemikiran yang intelek, matang dan mendalam sehingga mampu melihat sesuatu secara objektif, sistematik dan rasional.


DI MANA KITA

Rata-rata mahasiswa di Jordan yang kelihatannya ketika ini masih belum mempunyai jiwa mahasiswa dalam diri. Usahkan merasainya dalam hati malah mungkin tidak pernah terfikir dek akal, akukah mahasiswa? Tidak keterlaluan untuk dikatakan, bukan sedikit pelajar universiti hari ini yang tidak mampu mencapai tahap kematangan pemikiran yang sepatutnya jika dilihat mengikut kronologi usia. Mungkin ada yang menyalahkan keadaan dan suasana persekitaran yang gagal memberikan acuan sebenar untuk kita berfikir dan bertindak seperti seorang mahasiswa. Usia yang masih muda seawal 17 dan 18 tahun ketika mula mendaftar menjadi pelajar universiti di sini, serta suasana belajar di universiti luar negara yang jauh berbeza dengan situasi kampus tanah air, seolah-olah memberikan alasan kukuh mengapa kita tidak mampu mencari dan membina kematangan seorang mahasiswa dalam diri.


“Usia bukan bilangan waktu, tapi bilangan kesedaran”- Asy-Syahid Syed Qutb
Usia bukanlah parameter evaluasi kematangan . Andai ini yang menjadi kayu ukurnya, maka di mana pula had umur mengukur transisi kematangan berfikir seseorang? 20? 21? 25? 30? Atau 60?
Dalam usia meniti dewasa, rupa-rupanya masih ada sisa kebudak-budakan yang dibawa. Terbawa atau sengaja membawa dan membiarkan sifat keanak-anakan itu mengawal diri sendiri? Kita lebih rela mengikut kata hati, nafsu dan emosi daripada mengambil pertimbangan akal dan iman sebagai neraca membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Budaya hedonisme, berhibur, membuang masa, bercouple dan yang seangkatan dengannya, bukti nyata masih belum wujud roh mahasiswa intelek dalam diri kerana masih belum mampu menilai baik buruk, berfaedah atau sia-sia sesuatu perbuatan itu.


FIKRAH ISLAM MAHASISWA MUSLIM

Kematangan berfikir bukan untuk ditunggu, dinanti, tapi untuk ,dicari, dibina, dilatih dan diperolehi. Satu kelebihan yang dilihat ada pada mahasiswa Jordan, kita semuanya mempunyai satu aqidah yang sama, aqidah islamiyyah. Maka seharusnya asas pemikiran matang kita, mahasiswa Muslim seluruhnya berpasakkan pada kekuatan aqidah dalam jiwa.
Lembaran sejarah Islam menceritakan pemuda-pemuda Islam zaman silam yang seusia kita mahasiswa masa kini, sudah mampu berfikir jauh dan bertindak matang. Soal kemaslahatan ummah, soal kebangkitan agama dan tamadun bangsa, soal ancaman dan gangguan daripada musuh-musuh Islam sedunia tidak dipandang sebelah mata. Apakah yang menjadi pendorong kuat kepada mereka sehingga mampu mencipta nama dalam lakaran sejarah? Pemuda dahulu dibajai dengan aqidah yang mantap, yang membentuk cara berfikir, dan mengawal segala tindak tanduk dan keperibadian mereka. Tiada masa untuk bergurau senda berlebih-lebihan, membuang masa dengan perbuatan yang sia-sia, atau gejala hedonisme yang entah apa-apa. Apa yang berlegar dalam pemikiran mereka hanyalah untuk kepentingan agama dan umat sejagat. Aqidah dan iman yang mapan dan jitu juga menjadikan mereka kental dalam menghadapi mehnah dan tribulasi yang terbentang di hadapan mata.Itulah jiwa dan fikrah pemuda Islam yang sepatutnya tersemai dalam diri setiap Mahasiswa Muslim pada hari ini. Fikrah Islam harus mendominasi gaya dan cara kita berfikir lantas diterjemahkan kepada perbuatan yang mencerminkan kematangan dalam setiap pemikiran dan tindak tanduk kita seharian.
Seperti satu kitaran, sama ada fikrah Islam menjadi pemangkin kematangan berfikir seseorang, atau kematangan berfikir membantu seseorang mahasiswa Muslim membentuk fikrah Islam. Kita masih kurang elemen itu.


CABARAN MAHASISWA MUSLIM

Apabila memperkatakan tentang mahasiswa Muslim, kita harus kembali kepada konsep asas pembentukan individu muslim, yang menuntut pengislahan diri sebagai permulaan untuk melakukan pengislahan ke atas keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Mahasiswa Muslim perlu sedar bahawa dalam usaha untuk mendaulatkan Islam, mereka seharusnya bersedia dari segi intelek, emosi, jasmani dan yang paling penting ialah kekuatan rohaninya.


“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki diri dan berpegang teguh pada agama Allah dan dengan tulus ikhlas (menjalankan) agama mereka kerana Allah. Maka mereka itu bersama-sama orang-orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang-orang yang beriman”(SURAH AN-NISA; 146)


Perlu disedari, jalan untuk pengislahan diri melahirkan mahasiswa Muslim yang memiliki fikrah Islam berhadapan dengan seribu satu cabaran dari dalam diri sendiri mahupun pengaruh luar.Budaya berhibur keterlaluan, hedonisme dengan prinsip asasnya “Maximize leisure, minimize pain” telah banyak diperkatakan. Mungkin naik meluat mereka yang mendengarnya, tetapi mengapa masih belum nampak jalan penyelesaian? Kita yang pekak, atau buat-buat pekak, kita yang jahil atau buat-buat jahil? Sebaliknya kita lebih memilih untuk berseronok daripada bersakit-sakit menempuh cabaran membina diri, keluarga, agama, negara dan umat seluruhnya. Budaya ilmu pula kian terhakis. Sama ada kita sedar atau tidak, faktor keilmuan sesuatu bangsa itu adalah antara faktor utama kebangkitan dan kegemilangan sesebuah tamadun. Kita hilang semua itu, lalu mahasiswa kita sekarang lemah dan tidak mampu bangkit mencipta kembali kegemilangan tamadun Islam yang pernah dibanggakan.
Sifat ‘akuisme’, mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil berat hal ehwal sekeliling, kian menebal di kalangan kita. Apabila melihat perkara salah, hendak ditegur, nanti dikatakan syadid dan menjaga tepi kain orang. Ingin mengajak berbuat baik, takut pula dikata alim. Akhirnya masing-masing hidup dalam kepompong sendiri, hidup aku, hak aku, hidup kau, kau punya pasal. Tidak sepatutnya ini yang terjadi dalam sebuah masyarakat mahasiswa Islam yang kelak akan menjadi pemimpin dan agen pengislah masyarakat.


“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah sangat berat seksaNya “( SURAH AL-MAIDAH ;2)


Tidak kurang juga yang kalah dengan godaan nafsu, leka bercinta, ber’couple’, dan bersosial tanpa batasan syariat seolah-olah terlupa hari pembalasan yang akan menyaksikan setiap perbuatan dosa pahalanya. Biarlah dikatakan isu ini isu lapuk, bosan dengan kempen ikhtilat sifar atau sebagainya, namun selagi mana isu ini masih lagi menjadi isu, janganlah jemu memberi peringatan sesama kita kerana agama itu adalah nasihat.Bagi yang studious pula, terlalu keterlaluan dalam penumpuan kepada akademik, menjadikannya lupa untuk berfikir hidup bukan untuk menghambakan diri kepada ilmu dan akademik semata-mata. Hidup bukan hanya untuk mengejar kerjaya mewah dengan kelulusan tertinggi yang diperolehi. Memang sepatutnya kita meletakkan target yang tertinggi dan terbaik untuk cemerlang dalam akademik, bukan setakat dean list, malah president list , namun jika kecemerlangan itu hanya untuk diri sendiri, tanpa berfikir jauh ia adalah penting untuk memperbaiki masyarakat dan umat sejagat, kecemerlangan itu seolah-olah hilang manisnya. Tiada bakti hasil daripada kelebihan yang Tuhan beri, seolah-olah sia-sia kurniaanNya.


NOT JUST ORDINARY

Bukan masanya untuk menilai layak atau tidak anda digelar mahasiswa, kerana anda telah pun berada di atas jalannya saat anda mula menjadi pelajar di universiti, tetapi apa yang wajar dipersoalkan, sejauh manakah anda sedar peranan dan tanggungjawab yang tergalas di bahu anda sebagai seorang mahasiswa? Atau khususnya lagi sebagai seorang Mahasiswa Muslim?
“Dalam setiap zaman, pemuda merupakan tunjang kebangkitan. Dalam setiap kebangkitan, pemuda adalah rahsia kekuatannya, dalam setiap fikrah, pemuda adalah penyebar panji-panjinya” –Asy Syahid Hassan AlBanna


Life is too short to be ordinary.

Ingat, kitalah pewaris kegemilangan ummah, seharusnya kita jualah Mahasiswa Muslim yang bangkit meninggikan semula syiar agama Allah. Tinggalkan zaman kebudak-budakan dan keseronokan yang melampau. Kita diberi peluang di bumi bertuah ini, ditambah pula berada di luar negara, jangan sia-siakannya. Mantapkan aqidah dan bentukkan fikrah Islam yang menguasai dan mendominasi cara kita berfikir dan cara kita bertindak. Inilah saatnya untuk kita berubah. Kita harus jadi yang berbeza daripada yang biasa, kerana kita adalah Mahasiswa Muslim harapan ummah dan agama. Selamat berusaha dan berjaya!

KENALI MEREKA..KENALI DIRI KITA


Usamah bin Zaid, Mus’ab bin Umair, Aisyah binti Abu Bakar. Mahasiswa mahasiswi graduan universiti tarbiyyah Rasulullah saw. Kita membaca sejarah mereka. Pemuda pemudi. berusia seperti kita. Hebat bukan? Namun kini semuanya sudah tersimpan rapi dalam lipatan sirah silam. Hanya mereka yang membukanya dengan hati yang celik sahaja dapat mencium harumannya.
Itu kisah mereka. Kita pula di mana? Mahasiswa mahasiswi muda di atas bumi yang sama. Namun tidak kelihatan kehebatan pemuda seperti Usamah bin Zaid. Di manakah pewaris Aisyah binti Abu Bakar? Mungkin zaman kita berbeza. Atau sejarahkah yang tidak mungkin berulang? Mereka boleh, mengapa kita tidak boleh?? Pasti silapnya ada pada kita.
Seorang alim pernah berkata : “ Sistem pendidikan hari ini tidak lagi mampu melahirkan jiwa-jiwa yang merasa manis dalam beribadah..”.Benar,kita memang kekurangan mahasiswa mahasiswi Muslim yang matang dan peka terhadap isu-isu semasa. Ketandusan pemikiran, thaqafah dan nilai diri yang semakin membimbangkan. Atas kesedaran ini, PERMAI menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Minda dan Kendiri PERMAI(JKK PMK PERMAI) dengan harapan dapat membantu ahli Permai khususnya dalam proses pembentukan mahasiwa mahasiswi Muslim yang sejati.


Kita mahu melahirkan mahasiswa mahasiswi berjiwa mulia. Berhati hamba tetapi bertenaga. Pergaulan sesama manusia yang dihiasi keimanan dan ketaqwaan. Menerangi kesuraman ummah dengan cahaya peribadinya. Sanggup berkorban dan berkhidmat untuk Islam. Juga memiliki 10 sifat Mahasiswa Mahasiswi Muslim Sejati :
1. Aqidah yang sejahtera

2. Ibadah yang sahih

3. Akhlak yang unggul

4. Luas pengetahuan

5. Kuat tubuh badan

6. Mampu berdikari

7. Melawan nafsu

8. Sangat menjaga masa

9. Tersusun urusannya

10. Bermanfaat kepada orang lain


Dan kami, selaku wakil JKK PMK PERMAI 2008/2009 amat mengharapkan kerjasama semua ahli dan respon positif untuk program-program anjuran PMK Permai. Sebarang idea dan buah fikiran juga sangat dialu-alukan. Moga hari-hari yang kita lalui diiringi dengan peningkatan diri dan kematangan fikiran mahasiswa mahasiswi Muslim sejati ke arah mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.Insya’allah.
In the name of Allah, the Most Gracious, Ever Merciful.

We [JKK PMK PERMAI '08/09] plead to Allah, and request the readers to endorse this prayer wholeheartedly, that may this blog could shine your life with the light of guidance. May it help you on going through these entangled odysseys, and as for us, its sinful authors, something which might be of some help to us in the Hereafter.

We are more grateful than ever if you could gain some benefits from this imperfect blog, all the praise goes to the Almighty. In our most humble wishes, please forgive us for any mistakes that you might notice from this site. Please, do benevolently correct us in anything sacrilegious and profane that you might notice from us. And we’ll try our best to sincerely metamorphose for the better, with God’s will. We are neither nothing more nor less than just a peccable 3abid of Allah who’s dying for his ultimate forgiveness.

To Him we pray, may He exonerate our wrong doings in the past and the present, and may He protect us from any could-be-committed sins in the future. Ameen.