Friday, February 27, 2009

ALLAH S.W.T. Maha Mengetahui Apa Yang Baik Untuk CiptaanNya.



Oleh: Hilal Asyraf

http://langitillahi.blogspot.com

Sesungguhnya ALLAH S.W.T. itu Maha Mengetahui bahawa manusia yang diciptakan olehNya itu bagaimana. DIA tahu betapa lemahnya manusia, dan DIA juga tahu kekuatan manusia itu berada di mana. Sebagai PENCIPTA manusia, DIAlah yang paling tahu, apakah yang buruk bagi manusia, dan apakah pula yang buruk untuk manusia. ALLAH S.W.T. ada berfirman,

“ Mungkin apa yang kamu tak suka tetapi perkara itu baik bagi kamu, mungkin juga apa yang kamu suka, tetapi perkara itu buruk untuk kamu, dan ALLAH itu tahu, dan kamu semua tidak tahu”

ALLAH menurunkan ISLAM, yang bukan sahaja bertindak memenuhi spiritual manusia, tetapi juga akal dan jasad. ISLAM bukan sahaja agama, tetapi merupakan satu sistem kehidupan. Bukan sahaja satu peraturan, tetapi juga satu tatacara untuk mengajak manusia menghayati kehidupan yang sebenar.

ALLAH amat mengenal manusia. Bila berlaku masalah dan cabaran, atau dugaan serta ujian, manusia akan menjadi lemah. Tanpa petunjuk manusia akan menjadi songsang. Hidup manusia, jika tidak mempunyai hala tuju, maka akan cenderung kepada kehancuran.

Manusia itu sendiri fitrahnya memerlukan pegangan. Hatta ateis(satu pegangan yang tidak percayakan tuhan) juga merupakan pegangan. Justeru manusia telah mengorak langkah sendiri, membina kefahaman masing-masing, dan membina peraturan hidup sendiri.

Tetapi semua itu tidak cukup untuk membeli bahagia.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan denagn pemikiran manusia sendiri. Kerana manusia hanya mampu berfikir sebatas pemikiran mereka. Ada satu kata-kata,

“ Bagaimana yang memerlukan, boleh bergantung kepada yang memerlukan?”

Sindiran sinis kepada manusia sebenarnya, yang merasakan mereka mampu menjaga kehidupan mereka, tanpa pergantungan kepada ALLAH S.W.T.

Cuba kita lihat ke belakang sebentar,

Apabila ISLAM mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW, dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuklah 'Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Aqidah tauhid ini menjadi keyakinan dalam jiwa mereka. Menyebabkan mereka, walau digempur tentangan yang menggunung, walau ditampar badai yang menggulung, tetap utuh meneruskan kehidupan, tetap ampuh memikul perjuangan sehingga kemenangan berpihak kepada mereka.

Kita sendiri tahu, kehidupan para sahabat bersama Rasulullah S.A.W. adalah kehidupan yang amat bahagia, tenang dan menyenangkan. Apakah sistem kehidupan yang mereka pakai? Mereka menggunakan sistem ISLAM, yang diturunkan oleh ALLAH S.W.T. yang Maha Tahu akan hal manusia.

Nah… kalau manusia yang digempur dugaan hebat boleh hidup bahagia dan lapang jiwa dengan mengambil ISLAM, apa lagi manusia yang hidupnya bukan dalam keadaan digempur hebat.

ISLAM memang istimewa. Hadiah ALLAH untuk manusia sebenarnya.

Anda tak ingin mengambil ISLAM sebagai cara hidup?

Bagaimana anda hendak bahagia dengan sebenarnya?

Bahagia di dunia, tenang dan senang di dalamnya, kemudian bahagia pula di akhirat, bahagia kekal abadi di sana.

No comments:

Post a Comment