Tuesday, May 26, 2009

Ustaz, Encik atau Protaz



Sumber : http://genta-rasa.com/2009/05/23/ustaz-encik-atau-protaz/#more-423

“Nak panggil encik ke ustaz?”
Saya terkejut. Ada juga pertanyaan semacam itu.
“Panggil apa-apa sahajalah,” jawab saya ringkas.
“Tak boleh begitu…”
“Mengapa?
“Ustaz itu yang orang yang mempunyai latar belakang agama,” balasnya.
“Latar belakang agama?” tanya saya lagi.
Kalau sekadar berlatar belakangkan agama, semua kita memilikinya. Kita orang Islam. Bisik hati saya.

“Kalau ada kelulusan agama, bolehlah kita dipanggil ustaz,” jelasnya lagi.
Saya senyum. Dia semacam begitu naif. Tetapi benarkah begitu?
“Kalau begitu saya bukan ustaz. Saya encik,” jawab saya akhirnya.
“Tapi kenapa encik selalu cakap tentang agama?’
Saya akui kuliah, tulisan atau sajak-sajak yang saya tulis mempunyai “suara” dan “bau” agama. Islam agama saya, salahkah saya bercakap dengan agama saya? Begitu suara hati saya. Tetapi saya pendamkan sahaja. Bimbang kalau-kalau nanti disalah ertikan atau terkasar bahasanya.

“Kenapa… kalau bukan ustaz tidak boleh bercakap tentang agama?”
“Saya dengar begitulah. Tidak autentik. Tidak ada autoriti,” jawabnya terus terang.
“Kenapa begitu ya?”
“Ya lah, kalau kita bercakap agama tetapi tanpa nas dan dalil kita mungkin mengelirukan orang lain.”
“Walaupun sekadar mengajak untuk mengerjakan kebaikan. Contohnya, nak mengajak orang solat, berakhlak baik, rajin bekerja, tinggalkan mengumpat… perlu dalil juga?”
“Mestilah. Bukankah halal dan haram itu pasti ada nas dan dalilnya?”

Saya benar-benar terkejut dengan kefasihan dan kelancarannya berhujah. Dia bukan sebarang. Kelihatan naif, tetapi sebenarnya tajam dan licik gaya berfikirnya.
“Benar, semua itu ada nas dan dalil… tetapi semua orang sedia maklum akan haram atau halanya. Contohnya, majoriti sudah tahu solat itu wajib, mengumpat itu haram. Nas dan dalil bukan masalah utama di sini.”
“Masalahnya apa?”
“Masalah kita bukan tidak tahu wajib atau haramnya sesuatu itu…tetapi kita tidak mahu melakukannya. Tahu solat wajib, tetapi malas melakukannya. Tahu mengumpat itu haram, tetapi suka melakukannya.”

“Kalau itu masalahnya, bagaimana kita hendak menanganinya?”
“Ustaz lebih tahu!” balas saya tiba-tiba. Dia terkejut dengan panggilan saya. Sejak tadi saya hanya memanggilnya dengan panggilan “saudara”. Tetapi sekarang hati saya cenderung merasakan bahawa dia memang seorang ustaz (berkelulusan agama).
“Ya, ya… saya seorang ustaz.”
“Alhamdulillah, kalau begitu soalan tadi saya kembalikan kepada ustaz. Ustaz tentu lebih arif,” kata saya. Memang saya mengharapkan jawapan dan panduan daripadanya.

“Semua pihak perlu memainkan peranan. Kita mesti menyeru dan mendidik masyarakat,” jawabnya setelah diam sejenak.
“Termasuklah saya yang “encik” ini kan?” kilas saya perlahan.
Dia mengangguk.
“Benar kata ustaz… Encik cara encik, ustaz cara ustaz. Saya hanya mampu menyeru, berdakwah dan mengingatkan. Sepatah yang saya tahu, sepatah yang saya sampaikan.” “Sampaikan daripada ku walau sepotong ayat… Begitu kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” ujar ustaz mengeluarkan nas.
“Kalau begitu, encik sudah jadi seorang dai, seorang pendakwah,” tambahnya lagi.
“Ya, kita umat dakwah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dengan kemampuan kita.”
“Dengan kuasa, lidah atau sekadar benci dengan hati!” balas ustaz.
“Betul ustaz.”

“Tapi saya khuatir ramai yang menyamar jadi ustaz sekarang ni. Tidak ada kelulusan agama tetapi merasakan diri layak untuk digelar ustaz,” ustaz itu menyuarakan kebimbangannya.
“Kelulusan yang bagaimana?”
“Ya lah, mesti ada PHD, MA, BA atau setidak-tidaknya diploma dalam bidang agama daripada universiti dalam atau luar negara.”
“Kalau setakat tamat pengajian pondok, boleh dipanggil ustaz?”saya bertanya.
Ustaz itu termenung. Berfikir agaknya.

Dalam ruang ingatan saya terbayang “ustaz Z” – guru yang mengajar saya sewaktu kanak-kanak dahulu. Pada akhir tahun 60’an ustaz Z mengajar saya tentang tauhid, fikah dan akhlak. Dia berserban dan bergamis putih. Ustaz Z hanya belajar sekolah pondok (begitu pengakuannya pada saya). Namun saya kagum dengan kegigihannya. Kesungguhannya mengajar anak desa dengan ganjaran paling minima ketika itu sangat saya hargai. Dan diantara yang “luar biasa” tentang ustaz Z itu ialah dialah satu-satunya ahli agama yang rela dipanggil ustaz!

Mungkin generasi sekarang terkejut dengan kenyataan saya. Tetapi itulah hakikatnya. Pada zaman Pop Ye Ye , The Beetle , kemudian menyusul budaya hippies dan woodstock pada waktu itu kehidupan beragama memang tercabar. Menutup aurat (sekadar dengan tudung pendek) itu pun sudah dianggap asing. Dan pada waktu itu ramai ustaz-ustaz (maksudnya orang yang berkelulusan agama) yang malu kalau dipanggil ustaz. Pengalaman saya sendiri berdepan dengan ustaz yang mahu dipanggil ustaz hanya di kawasan sekolah! Jangan di tempat awam.

Namun sekarang ustaz-ustaz sudah naik “harganya”. Malah sudah ada “glamour”. Sudah ada rancangan TV yang popular sama ada yang dihoskan oleh ustaz atau secara langsung dinamakan dengan tanyalah ustaz. Tidak hairan jika kini ramai ustaz yang mahu dipanggil ustaz dan bukan ustaz pun yang mahu dipanggil ustaz. Di sinilah mungkin terjadi persaingan, kekeliruan, eksploitasi, obsesi dan sebagainya. Kalau dulu keikhlasan para ustaz diuji cara begitu, kini keikhlasan itu teruji dengan cara yang lain.

“Saya cadangkan encik jadi Protaz,” tiba-tiba ustaz itu bersuara. Saya terkejut dalam lamunan atas imbauan lampau yang panjang.
“Protaz?”
“Profesional ustaz. Maksudnya, dia mungkin doktor, jurutera, korporat, malah pilot atau lain-lain golongan profesional tetapi mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.”
“Mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau mempunyai kelulusan agama yang tinggi?”
Kali ini ustaz itu benar-benar berteleku. Dahinya berkerut.
“Saya tak faham. Benar-benar saya tak faham, apa maksud encik?”

“Begini ustaz, ada seorang sahabat saya, seorang akauntan tetapi pengetahuan agamanya tinggi. Hasil dia belajar di masjid, surau atau kelas-kelas pengajian yang tidak formal. Saya dapati tajwidnya fasih, tafsirnya juga mantap, tetapi kalau diikutkan piawaian tadi dia masih dalam kategori encik, bukan ustaz…. Sekarang boleh dia dipanggil Protaz?”
“Bolehlah…” jawab ustaz itu perlahan.
“Bagaimana dengan autoriti diri dan autentik ilmunya?”
“Wah, pening saya,” akui ustaz itu.

“Maaf, sampai ke tahap ini pula perbualan kita. Jika dilanjutkan nanti saya pasti akan melarat-larat kepada takrif ulama, alim, profesional dan lain-lain pula nanti,” ujar saya.
Kami pun berjabat tangan tanda perpisahan.
“Terima kasih ustaz.”
“Terima kasih encik,” balasnya.

Saya masih ingat betapa hebatnya “muzakarah” yang menghampiri medan “mujadalah” antara beberapa cendekiawan dalam majlis forum yang pernah saya hadiri beberapa tahun yang lalu.
“Ulama itu orang yang faham segala ilmu teras dan ilmu alat dalam bidang agama secara terperinci!”
“Ulama itu orang yang takut kepada Allah. Kalau ilmu setinggi langit sekalipun, tetapi tidak ada rasa takutkan Allah, orang itu bukan ulama, ” bidas seorang lagi.
“Apakah tukang sapu yang hanya tahu asas-asas fardu Ain tetapi sangat takutkan Allah, boleh dipanggil ulama?” tanya seorang yang lain.
“Mampukah orang yang hanya ada asas-asas fardu Ain takutkan Allah?”
“Eh, jangan lupa… kisah budak gembala kambing yang diuji oleh Sayidina Umar agar menjualkan kambing tuannya lalu dia menjawab, kalau begitu di mana Allah? Apakah anda hendak nafikan yang budak itu adalah ulama?”

Itulah serang dan tangkis yang saya dengar daripada mulut para ilmuan dan tokoh suatu ketika dahulu. Saya yang “encik” ini akhirnya mengambil sikap tidak mahu campur perkara yang di atas. Saya tidak layak. Namun, sebagai seorang Islam kita tetap terpanggil untuk membuat kebaikan… lalu saya turun ke bawah. Saya tidak banyak tahu jika dibandingkan dengan orang di atas. Tetapi bila saya lihat “di bawah” saya insaf, ilmu saya masih “terlalu” banyak bila dibandingkan dengan kewajipan menyampaikan. Terlalu banyak ayat-ayat yang belum saya sampaikan.

Ah, kekadang (dan sejak akhir-akhir ini sering) saya biarkan sahaja persoalan yang rumit dan kusut. Yang bukan taraf diri dan tahap ilmu saya untuk mengungkainya. Namun entah mengapa sejak akhir-akhir ini, pertikaian, kekhilafan dan perbezaan yang sudah lama disimpan dalam “sampul” sikap lapang dada dan adab ulama silam kini seolah-olah dibongkar kembali. Mungkin ada kewajarannya… kata mereka, kini orang semakin bijak. Dunia semakin terbuka. Namun, sikap berhati-hati dan paling penting – keikhlasan kepada Allah SWT, perlu diutamakan. Ya, mungkin orang sekarang semakin bijak, tetapi hubaya-hubaya kalau hati semakin rosak!

Mudah-mudahan peti khazanah ilmu silam yang beragam dan bermacam itu akan menyerakkan sejuta keharuman bila dibuka kembali dengan hati yang luhur. Dan tidak menjadi seperti “kotak pandora” yang meyebarkan fitnah dan kecelaruan bila dibuka dengan hati yang takbur . Ya, semoga semua pihak, tidak kira ulama, ustaz, alim, protaz, profesional atau sekadar “encik” sama-sama memainkan peranan menegakkan agama. Setiap orang Islam mesti memperjuangkan Islam!
Dikirim dalam Tarbiyah | Label: agama, encik, Islam, protaz, ulama, ustaz

No comments:

Post a Comment