Tuesday, March 17, 2009

Pilih pengawas lebih demokratik dari pilihanraya kampus.



Oleh Muhammad Nuruddin Bashah



Baru-baru ini saya menyertai penyerahan memorendum tergempar Mahasiswa Menuntut Pilihan Raya Kampus 2006/07 Yang Bebas dan Adil. Majlis berkenaan diselitkan dengan majlis dialog di antara pelbagai proksi mahasiswa, dan dikendali Dato Siva Subramaniam, wakil Pengerusi Suhakam sendiri.

Terdapat lapan proksi mahasiswa yang menyertai memorandum berkenaan antaranya adalah:

1. Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)

2. Malaysian Youth And Democratic Movement (DEMA)

3. Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA)

4. Food Not Bomb (FNB)

5. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

6. University Malaya Association Of New Youth (UMANY)

7. Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa India (JKMI)

8. Students For Pro-Democracy (Pro-DAM)

Saya selaku pemerhati dalam dialog berkenaan adalah juga merupakan salah seorang daripada aktor-aktor yang pernah mengalami dunia mahasiswa di era pilihanraya yang bebas dan telus dan juga mengalami pengalaman berada dalam dunia gelap demokrasi kampus sejak tahun 2003. Bukan pro mana-mana parti politik Saya tidak suka menggelar kelompok politik sebagai pro kerajaan dan pro pembangkang kerana saya memandang mahasiswa adalah merupakan sebuah entiti yang matang, bebas serta mempunyai idealisme yang tersendiri serta isolated daripada pengaruh dogma politikus luar yang semestinya menantikan ruang untuk membuat sedikit agenda recruitment.


Saya tidak menafikan sebagai manusia dan warganegara Malaysia, setiap mahasiswa akan mempunyai ideologi yang tersendiri berkenaan politik perdana serta menjadikan mana-mana tapak politik luar sebagai sumber inspirasi mereka. Pada hari ini saya kesal apabila jenayah demokrasi semakin menjadi-jadi dan gejala mahasiswa bacul, bodoh, pak angguk, tiada idealisme, tiada halatuju, makan suap, rendah jati diri, budaya pergantungan kepada tapak-tapak tertentu serta semakin tumpul tahap intelektual mereka. Mahasiswa diugut terus menerus Mahasiswa kini diugut tanpa mengira apa jua latar belakang serta ada Universiti dan Kolej Universiti yang cuba menghakis terus pengaruh demokrasi apabila hanya ada calon pro HEP sahaja di dalam Kolej Universiti berkenaan.


PNGK bagi calon dinaikkan, dimana akhirnya calon yang menyertai pilihanraya hanyalah manusia malaikat yang hanya belajar 24 jam tetapi digesa oleh HEP untuk bertanding. Tidak kurang juga yang diugut oleh HEP dengan penarikan biasiswa dan pembuangan kolej (terutama di UKM, UM dan UPM). Istilah pembuangan kolej di universiti sebegini adalah sama seperti hukuman hudud pancung kepala bagi para mahasiswa yang sejak hari pertama melangkah ke gerbang menara gading itu, dimomokkan dengan budaya patuh dan takut kepada HEP. Saya kesal apabila terdapat biro pendidikan parti politik tertentu membuat penajaan latihan ilmiah, serta biasiswa kepada mahasiswa pointer cemerlang yang akhirnya diserapkan dengan program recruitment parti berkenaan serta digesa menjadi perwakilan pelajar. Perlantikan pengawas sekolah lebih demokratik.


SUHAKAM sendiri berpendapat bahawa kadangkala perlantikan pengawas sekolah lebih demokratik serta ada pilihanraya yang telus. Akan tetapi musibah besar menjelma di kampus-kampus Malaysia apabila usaha uni-polarisasi kuasa politik pelajar dihasilkan serta cuba memusnahkan tradisi pressure group serta budaya check and balance di kalangan mahasiswa.


Apakah yang masih tinggal? Hanya pak angguk yang berakademik tinggi menghiasi kerusi-kerusi perwakilan dan hal ini berlaku secara homogenous di seluruh negara. Pak angguk ini tidak akan berperah akal untuk memberi idea kepada pentadbiran universiti mahupun negara kerana mereka dibela, diasuh agar jangan melawan atau mengeluarkan idea yang kritikal kerana semuanya adalah ready made.

Pembunuhan besar-besaran dunia intelektual mahasiswa Inilah tradisi yang akan membunuh pelapis pentadbiran negara. Adakah dengan adanya perwakilan pro-student (yang lebih dikenali sebagai pro pembangkang yang radikal) akan memusnahkan agenda universiti? Adakah negara akan hancur dengan adanya group seperti ini? Jawapannya sebaliknya apabila Universiti Malaya kini hampir tiada langsung namanya di pementasan tahap akademik sedunia sejak agenda unipolarisasi massacre berlaku.

Saya namakan sebagai massacre kerana pembunuhan besar-besaran terhadap keintelektualan mahasiswa berlaku denga jelaknya serta berperancangan rapi, seterusnya dijadikan sebagai kelompok buta tuli dan pak angguk yang tegar serta amat patuh dengan arahan tertentu. Mahasiswa berpolitik kerana cintakan negara Kita tidak berjuang untuk menjadi radikal dan tidak mengenang budi. Semua ideologi politik cintakan negara. Semua warganegara berpolitik kerana cintakan negara.

Mahasiswa berpolitik kerana cintakan kampusnya. Ideologi politik adalah normal untuk diikuti, tetapi bukan punca kepada keretakan segmen sesama mahasiswa terutama di kolej kediaman. Saya mengalami sendiri suasana dikotomi pro-pembangkang dengan pro-aspirasi kerajaan. Pengetua kolej kini juga bertindak sebagai ketua jentera pilihanraya serta menjadikan para penyelia sehinggalah kepada tukang masak sebagai perisik dan pemantau yang dahsyat. Secara luarannya mereka ini adalah sebagai SPR kampus yang semestinya akan bertindak berat sebelah.


Pilihan raya di kolej kediaman (bermula di UKM) adalah suatu perkara yang langsung tidak masuk akal. Calon-calon pro-student yang hanya memiliki 5 pencadang pencalonan terpaksa memantau hampir berbelas-belas kolej kediaman untuk meraih undi serta menilai penyelewengan yang mungkin berlaku pada peti undinya. Berbanding dengan pilihan raya di fakulti kerana mereka mudah meninjau semuanya kerana mereka adalah wakil fakulti mereka (fakulti mereka satu bukan berbelas-belas).


Berbanding dengan wakil daripada kelompok pak angguk, mereka mempunyai beratus-ratus pejuang berani mati yang dahagakan prepaid dan disuap dengan rokok free saban malam yang tegar meninjau serta menjaga peti undi mereka disetiap kolej walaupun si penjaga itu tidak mengenali calon yang mereka jaga itu.

Akibatnya bilik mesyuarat di kolej kediaman dijadikan sebagai markas atau pusat untuk si penyeleweng gunakan demi memenangkan calon mereka.
Kepada mahasiswa UM yang masih muda, mereka menganggap situasi ini adalah rutin UM. Jawapannya tidak! UM telah berubah 180 darjah dan cukup dahsyat. Tunas perkauman di kampus Agenda perkauman mula ditiupkan apabila setiap parti perkauman mula membawa tunas-tunas mereka beraksi di pentas kampus. Akibatnya pertautan persaudaraan yang telah lama bertaut di kalangan etnik berbeza mulai renggang dan hancur.


Ada kolej yang ditiupkan perkauman sehingga seolah didominasi oleh satu kaum yang kononnya telah lama ditindas di muka bumi Malaysia ini. Bagi Kolej Universiti serta Universiti yang masih baru pula, politik uni-ideologi mula diperkenalkan dan kelihatannya berjaya. Mereka diasuh dan diwar-warkan sebagai pelajar cemerlang dan gemilang sedangkan hidup mereka hanya menjadi penghafal nota kuliah dan Majlis Perwakilan kampus mereka hanya seperti majlis mesyuarat RELA kampung semata-mata. Pada saya mesyuarat RELA lebih aktif dan berhasil tindakan mereka. Tidak diiktiraf Ramai sahabat saya yang pernah menjadi perwakilan pelajar UM, yang belajar sehingga mampu meraih pointer yang amat cemerlang, memegang dua jawatan besar gerakan mahasiswa Malaysia, tetapi gagal meraih apa-apa anugerah dan pengiktirafan.


Momokan pro pembangkang sebagai tak mengenang jasa, tidak akan dapat kerja, ortodoks serta tidak cemerlang akademik adalah salah, kerana kegemilangan mereka telah diselindungkan daripada pengetahuan umum. Tidak pernah rakan-rakan saya (yang telah bekerja) menceritakan majikan bertanyakan “adakah anda pro aspirasi?" semasa temuduga. Mereka katakan bahawa bekerja dalam jentera pilihan raya pro-HEP akan memudahkan mereka mendapat kerja dan akan mudah mengecap kemewahan.


Itu adalah mustahil dan pembohongan yang amat nyata. Saban tahun, yang menjadi mangsa doktrin murahan ini adalah pelajar freshies yang mentah tuli dengan isu sebenar. Pada saya recruitment sesebuah parti adalah untuk mendapat pendokong pelapis yang tegar agenda politiknya mengikut laras-laras pengasuhnya. Murahan politik kampus Namun ironinya, kita melihat bagaimana si penyokong yang kini hanya menyertai jentera pilihanraya pro-HEP semata-mata untuk kekal di kolejnya, hanya inginkan duit kopi dan ingin melancong ke Medan dan China atau tagihkan kereta, rokok dan prepaid.


Cukup murahan pelapis politik begini. Pada saya alang-alang mengasuh, biarlah mereka faham apa itu politik yang sebenarnya. Alangkah gagalnya universiti sekarang… Dalam dialog dengan Suhakam, SMM menggesa agar Suhakam memastikan tarikh pilihan raya dianjak ke tarikh yang lebih munasabah untuk memberi ruang melaksanakan kempen dan pemberitahuan tarikh kepada semua lapisan mahasiswa. Saban tahun pemilihan yang berlaku hanya diketahui oleh penghuni kolej kediaman yang telah sedia didoktrin secara kotor. Mahasiswa yang tinggal di luar kampus akan ketinggalan dan tidak turun mengundi. Ini bukan semangat pilihan raya. Ini semangat gilakan kuasa. Saya amat kesal dengan senario yang tidak sihat ini. Moga setiap pejuang demokrasi sabar dan tabah mengahadapi ketumbukan tirani yang bertopengkan intelektual ini.


p/s-jom keluar mengundi kepada warga permai-just..
"Wahai orang2 yang beriman! Janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang2 yang membuat agamamu jadi bahan ejekan dan permainan,iaitu di antara orang2 yang telah diberi kitab dan orang2 kafir (musyrik). Dan bertaqwalah kepada ALLAH jika kamu orang2 beriman.
Al-Maidah:57

Monday, March 16, 2009

Tayangan muvi (akhawat)

Ada apa dengan filem TAKEN?

Memang menggemparkan.. dari bayt tafaquh Muhsineen bertukar menjadi pawagam Muhsineen. Siapa boleh elak, sekiranya akhawat irbid berkumpul. Yang muram bertukar ceria, yang penat jadi bersemangat, yang "bad mood" pun jadi overexcited!.. Inilah nikmat ukhuwah. Semuanya hasil asbab "TAKEN" dan tentunya aturan Allah s.w.t.

Mari kita lihat komen-komen dari pengunjung....

"Movie yang dipilih bertepatan dengan masa n target. Tahniah!"

"Tak dinafikan banyak unsur-unsur yang tak best, tapi mesej jelas dan tercapai. Sangat LEBIH BERHATI-HATI akibat teringat akibat cerita hari tu.."

"Program yang sangat menarik n lain dari yang lain. Dapat mendekati ahli PERMAI dari sudut yang berbeza dan menarik disamping dapat menyampaikan mesej secara tak langsung... inshaAllah lebih berkesan=).."

"Cerita tu best, banyak pengajaran. Contohnya kasih sayang dengan family, etika bermusafir, kejujuran pada orang lain, jangan mudah percaya kat orang asing.. Rasanya patut bagi syabab tengok jugak, supaya bagi diorang sedar sikit peranan diorang- MURAQIB. Kalau ikut waqi3 sekarang, syabab makin amek remeh hal ni.."

"Alhamdulillah program ni telah memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga keselamatan. Walau dalam apa jua situasi sekalipun.. hargailah sebuah nyawa kerana tiada nilai yang dapat menggantikannya.."

"Filem tu ok, banyak jugaklah aspek2 yg berkaitan dgn kita ada dlm filem tu yg perlu diberi keutamaan , terutama aspek KESELAMATAN kita berada di negara orang ni.. mungkin juga sebagai peringatan, bagus.. Saya setuju sekiranya diadakan lagi tayangan sebegitu dalam pelbagai bentuk yg lain, coz kadang2 kita ni nak relax dan santai dlm sesuatu program yg ada manfaatnya di situ. Mungkin lain kali cari lagi tayangan lain yg blh membentuk jiwa kita, menaikkan semangat dll. Biarlah bermotif dan terisi program tu dgn slot2 yg lain lagi.. dlllah.."

Nampaknya memang banyak input yang diperoleh. Moga-moga manfaat yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam kehidupan dalam menjadikan diri kita lebih baik semestinya, sesuai dengan acuan Allah s.w.t. Dari pihak penganjur, ingin ditegaskan disini, kami bukanlah cuba mempromosi budaya hedonisme dengan mengajak semua ahli PERMAI tengok movie..Tidak, Tidak! Apa yang ingin dibawa adalah MESEJ melalui filem tersebut.

Tak salah pergi melancong.
Asalkan bertepatan dengan Quran & Sunnah.

Tak salah nak berkasih sayang.
Asalkan melalui cara yang betul.
(dalam cerita tersebut si bapa memberikan kasih sayang pada anaknya dengan melindunginya.. tapi si ibu memberikan kasih sayang dengan menuruti segala permintaan anaknya.. )

To love is to protect.
Allah sayang kita.. sebab tu Allah buat banyak peraturan. to protect us. Sayang kita pada Allah dengan ikut guidelineNya. say no to ikhtilat tidak sihat/syarie

Tak salah nak terkuatkan suara. Hanya apabila keadaan cemas dan memerlukan. Tindakan refleks apabila tengok movie pun dimaafkan. Jadi salah apabila sengaja menguatkan suara dan mengumpat non-melayu-speakers (ARAB).

.. dan seribu pengajaran lain. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Bagi akhawat yg inginkan lebih banyak pengajaran namun masih belum berpeluang menontonnya, bolehlah berhubung dengan timbalan JKK PMK, Nur Atiqah Mohd Nazeri di atiq_tasnim@yahoo.co.uk

Nantikan tayangan seterusnya dari JKK Pembangunan Minda & Kendiri pada masa akan datang......

Sains sosial untuk memenangkan ISLAM?



Sumber : http://saifulislam.com/?p=1309

“Antara manusia, mekanisma dan mesin, serta matlamat, manakah antara ketiga-tiga ini faktor penentu kecemerlangan?”, saya bertanya.

“Matlamat!”, jawab salah seorang hadirin.


Ia jawapan standard bagi mereka yang berpemikiran idealistik.


“Siapa yang menentukan matlamat?”, saya menyambung soalan.


“Manusia”, jawab mereka.


Benar sekali. Berubah manusia, berubahlah matlamat. Maka untuk mengekalkan matlamat, jangan lengah dalam membentuk manusianya.


“Tiada siapakah yang menganggap mekanisma dan mesin sebagai faktor kecemerlangan?”, saya mahu menyelesaikan persoalan berbaki.


Diam.


Senyum.


Menggelengkan kepala belaka…


Semua orang mengaku bahawa manusia adalah ‘harta’ paling berharga dan paling utama dalam menentukan kejayaan setiap tahap kehidupan. Kecemerlangan rumahtangga, syarikat perniagaan, sebuah gerakan Islam dan ummah keseluruhannya. Tetapi sejauh mana kita mengambil berat faktor manusia? Sejauh mana kita mementingkan manusia dalam pembangunan hidup ini?


Modal insan?


Berapa banyak agenda kita membangunkan modal insan, berbanding modal kita menjahanamkan setiap insan yang ada hari ini?


JIKA BENAR MANUSIA PENTING


Jika kita bersungguh-sungguh berpakat di atas suatu persetujuan bahawa manusia adalah yang paling utama, bagaimanakah sikap kita terhadap manusia? Usah dulu ke peringkat yang lebih rumit, cukup sekadar dinilai dalam kehidupan seharian.


Andai anak pecahkan pasu bunga, lupakah kita pada kelakuan ibu yang membelasah anaknya seolah-olah si anak andai binasa, boleh dibeli di mana-mana?


Jika mat rempit menjunam di atas jalan, diperiksanya motor terlebih dahulu atau kakinya yang sudah separuh tergantung.

Hakikatnya, kita tidaklah begitu menghargai manusia.


Bukan sahaja anak vs. pasu bunga dan motor mat rempit vs. kakinya sendiri, tetapi dalam konteks yang lebih besar, sejauh mana prihatin kita kepada sains sosial (sains kemanusiaan)?


Sejauh mana peduli kita kepada bidang sejarah, sains politik, sosiologi, antropologi, psikologi dan komunikasi? Malah pendidikan dan ekonomi?


SAINS SOSIAL UNTUK UMMAH SERTA GERAKAN DAKWAH DAN ISLAH


Apa perlunya ummah kepada sains sosial?


Tidak cukupkah pada sentuhan tradisi keilmuan Islam yang kaya raya itu untuk menjawab persoalan-persoalan memaknakan slogan “ISLAM PENYELESAIAN”?


Jangan pergi kepada ummah yang termanya terlalu dramatik itu. Perlu dijawab terlebih dahulu, perlukah sebuah gerakan Islam kepada sains sosial?


Soalan ini sering menghantui fikiran saya.


Sebagai seorang pelajar yang muhajir dari Syariah kepada Sains Sosial, soalan sebegini sering mencabut ketenteraman diri saya. Tentu sahaja setiap orang akan menganggap bidang yang dipelajarinya sebagai penting belaka untuk ummah ini. Namun saya runsing memikirkan tentang kedudukan sains sosial bukanlah untuk bertanding tentang bidang siapa yang lebih penting dari bidang yang lain. Tetapi saya memikirkan bagaimanakah kesan sains sosial meminggirkan gerakan Islam, dan bagaimanakah kesan gerakan Islam meminggirkan sains sosial?


Walaupun gerakan Islam mendabik dada bahawa imej ‘parti kampung’nya telah lama ditinggalkan berikutan penglibatan golongan profesional yang cukup memberangsangkan, malah dikatakan berupaya untuk kembali ke imej asal dengan nama-nama tokoh penggerak seperti Zulkifli Muhammad dan Burhanuddin al-Helmi yang juga dikategorikan sebagai golongan profesional, hakikatnya kenyataan ini mesti lebih dihalusi. Biar pun keterlibatan golongan profesional di dalam politik Islam semakin memberangsangkan, namun golongan profesional itu kebanyakannya adalah mereka yang datang dari disiplin hard science.


Gerakan Islam mengalami lambakan jurutera.


Gerakan Islam mengalami lambakan doktor.


Ia suatu perkembangan yang memberangsangkan. Tetapi ke mana perginya golongan profesional dari soft science? Jika soft scientist mahu dianggap profesional?


Di mana ahli sejarah dalam gerakan Islam?


Di mana political scientists?


Ke mana sociologists, anthropologists, psychologists, economists malah educationists dalam arus perdana gerakan Islam?

ASAL USUL KETERLIBATAN


Mengajak seorang pelajar kejuruteraan dan kedoktoran kepada kegiatan dakwah dan mungkin juga siasah, adalah lebih ketara dan berhasil berbanding dengan usaha mengajak pelajar sejarah, sosiologi dan sains politik kepada kegiatan seperti ini.


Ini adalah kerana pelajar kejuruteraan dan perubatan akan dengan cepat melihat gerakan dakwah itu sebagai pelengkap kepada ‘kekurangan’ dirinya sebagai pelajar ‘bukan agama’. Mereka akan melihat peluang terlibat di dalam usrah dan dakwah sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan seterusnya meletakkan diri mereka di atas landasan yang betul dalam beragama.


Tetapi mereka tidak akan mencabar content Tarbiyah apatah lagi retorik dakwah dan siasah!


“Saya tersinggung apabila ustaz menganggap pelajar kejuruteraan tidak cukup cerdik untuk mengkritik dakwah!”, keluh seorang teman.


Maafkan saya.


Saya bukan menyentuh soal cerdik atau kurang cerdik. Keupayaan mengkritik ini tidak bersangkut kepada cerdik atau tidaknya seorang pelajar, tetapi ia berkaitan dengan nature pembelajarannya terutamanya jika pelajar itu mengikat dirinya hanya kepada silibus dan hidupnya hanya untuk lulus periksa.


Teori-teori yang dipelajari di dalam pure science, tidak menuju secara langsung kepada menghasilkan contradiction terhadap usrah, dakwah dan siasah yang ada di sekelilingnya.


Ketika seorang pelajar kejuruteraan kimia sedang belajar tentang ChE process dan berurusan dengan Gibbs phase rule dan bezanya dengan Degrees-of-freedom analysis, amat sulit untuk dirinya berfikir pada masa yang sama tentang hubungkait subjek ini dengan dakwah yang disertainya. Kecuali hingga anda mengorek falsafah di sebalik aplikasi teori-teori ini dan pasti you have to be exteremely smart to do so!


Begitu juga dengan pelajar perubatan. Semasa dirinya meneroka molecular dan cellular systems, the integumentary system dan the skeletal system, adalah terlalu jauh untuk dirinya berfikir tentang usrah dan dakwah yang disertainya kecuali di sekitar persoalan “betapa agungnya ciptaan Allah hasil kajianku terhadap tubuh manusia ini”. Namun bagaimanakah kesedaran itu boleh membawa dirinya kepada mengkaji mekanisma rasional perbuatan manusia dan implikasinya kepada kehidupan… you have to be extremely smart to do so!


Maka tarbiyah dan dakwah lebih disambut secara subur oleh pelajar di bidang hard science tanpa ada sebarang konflik dengan bidang pengajiannya. Malah gerakan dakwah juga berebut-rebut mahu menerima keahlian mereka kerana ia meningkatkan imej kumpulan masing-masing.


Kumpulan saya ada ramai doktor.


Kumpulan saya ada ramai jurutera.


SAINS SOSIAL MENCETUSKAN KONFLIK


Tolaklah ke tepi pelajar-pelajar dari kategori yang belajar sekadar mahu lulus periksa. Perbincangan saya ini tidak ada kena mengena dengan pelajar atau sesiapa yang berkata “entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku ambil bidang ini!” Golongan seperti ini mungkin lulus cemerlang di dalam bidang sains politik, namun tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku di sekitarnya dan menjadi mangsa pertama percaturan politik aplikasi biar pun dia itu wira politik teori di atas sekeping ijazah.


Namun, apa yang menjadi fokus saya ialah kepada pelajar yang sentiasa peka, belajar dan memikirkan tentang pelajarannya, serta apa hubung kait pelajarannya itu dengan kehidupannya di luar bilik kuliah dan perpustakaan.


Seorang pelajar sejarah, akan belajar tentang sejarah kemunculan idea-idea yang ada hari ini.


Sebelum bercakap tentang ancaman sekularisma kepada ummah, mereka telah terlebih dahulu perlu belajar tentang sekularisma era George Holyoake malah dikorek hingga ke akar umbinya seawal Ibn Rushd dan Averroism school of philosophy.


“Sekularisma ialah memisahkan agama dari politik. Sekularisma adalah jalan terpantas untuk seseorang itu menuju Riddah!”, kata seorang naqib di dalam usrahnya.


Idea-idea sebegini akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah dan sains politik rasa terganggu. Mereka akan segera merasakan bahawa kefahaman tentang sekularisma yang sedemikian rupa adalah terlalu dangkal dan tidak keterlaluan boleh dikatakan sebagai rubbish! Apakah content Tarbiyah kumpulan dakwah ini? Apakah mereka faham dengan apa yang mereka perkatakan? Soalan-soalan sebegini datang bertubi-tubi on daily basis kepada seorang pelajar sains sosial.

Sebelum bercakap tentang ancaman Islam Liberal, atau mengkritik Nurcholis Majid (Cak Nur), pelajar sains sosial telah terlebih dahulu dituntut agar mendefiniskan liberalism dalam konteks yang betul. Mereka telah terlebih dahulu perlu mengetahui pandangan orang-orang seperti Adam Smith, dan mengenal pasti perbezaan trend yang wujud di bawah slogan liberalism seperti Manchester Liberalism, Cultural Liberalism, Political Liberalism, Sosial or Neo Liberalism dan sebagainya.


“Liberalisma ialah usaha untuk membebaskan manusia dari ikatan kepada agama. Ia membuka ruang kepada manusia untuk bebas memilih sama ada mahu berdosa atau berpahala dan kita tidak berhak berkata apa-apa. Antum mahu negara kita jadi seperti ini?”, tanya seorang naqib kepada ahli usrahnya.


Pandangan penuh emosi dan bernada tinggi ini, akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah, sains politik dan ekonomi akan berasa terganggu.


“Naqib aku ni faham ke apa benda yang dia cakapkan ini?”, rungut hati seorang pelajar sains sosial yang juga dididik agar sami’na wa atha’na atas nama amal jama’ie.


Itu di peringkat teori dan kefahaman.


Dalam ertikata yang lain, saya cuba untuk mengajak kita semua melihat di mana rasionalnya pelajar sains sosial enggan mendekati kumpulan dakwah terutamanya yang berpegang dengan agenda Islamism. Mereka akan menganggap kumpulan ini hanya beretorik dan tidak mempunyai apa-apa kefahaman yang bersifat substantial kerana untuk berjuang menentang kebejatan sekularisma, mereka hanya berpada dengan definisi sekularisma yang dihafal dari mulut amir atau pemimpin mereka yang mursyid.


Cakap kosong semata.


APLIKASI SAINS SOSIAL


Itu di peringkat teori dan kefahaman.


Apabila persoalan ini dibawa ke peringkat mengaplikasikan teori sains sosial, konflik di antara gerakan dakwah dan islah dengan sains sosial akan jadi lebih meruncing.


Bagi sebuah gerakan yang berhasrat untuk mengubah masyarakat dan sistemnya, mereka perlu mempunyai kaedah yang jelas dan tepat dalam menganalisa masyarakat. Ahli sains sosial seperti sociologist dan anthropologist akan menganalisa masyarakat dengan disiplin dan metodologi yang boleh diukur dan berasas.


Misalnya, untuk sebuah gerakan Islam membuat keputusan tentang pendiriannya berhubung dengan trend yang wujud di dalam masyarakat terhadap isu-isu yang diperjuangkannya, mereka perlu melakukan kaji selidik. Survey sebegini mesti dilakukan dengan cara yang betul, memenuhi tuntutan kualitatif dan kuantitatif terhadap sampel yang terbabit supaya mereka mendapat keputusan yang tepat tentang gambaran sebenar kefahaman serta reaksi masyarakat kepada apa yang mereka perjuangkan.


Tetapi, sejauh manakah gerakan Islam memperlengkapkan dirinya dengan hal ini?


Apakah setiap kali gerakan Islam di mana-mana bahagian dunia kalah di dalam pilihanraya maka ia mesti berpunca daripada penyelewengan pemerintah dalam mengendalikan proses pengundian semata-mata?

Bagaimana pula kemungkinan perjuangan yang tidak bersandarkan asas? Memperjuangkan satu isu tanpa mempedulikan sejauh mana kefahaman masyarakat tentang isu tersebut, sejauh mana mereka memahaminya, sejauh mana relevannya isu yang dibawa… dan semua ini gagal dijawab kerana gerakan Islam tidak menyelidiknya?


Malah jika ada dakwaan bahawa penyelidikan dibuat, apakah asas penyeldikan berkenaan? Mampukah ia berdiri teguh jika ditimbang dengan neraca sains? Atau hanya sangkaan semata-mata?


KERISAUAN YANG BERASAS


Inilah yang mencetuskan kerisauan kepada saya.


Isu ini bukan sahaja isu gerakan Islam, malah isu masyarakat kita secara keseluruhannya. Kita menganggap manusia itu mudah kerana setiap kita ini juga adalah manusia. Kita lupa bahawa manusialah yang menentukan matlamat, manusialah yang menghasilkan mesin dan manusialah yang menghasil dan menggunakan teknologi. Sebelum matlamat dicabar, mesin dianalisa, teknologi dinilai dari segi etika, kita lupa kepada keperluan mendalami prima causa dan pemula segalanya… manusia.


PENYELESAIAN


Tidak sedikit pelajar kejuruteraan dan perubatan malah jurutera dan doktor sendiri yang dinamik dalam fikrah dan gerak kerjanya. Tetapi mereka berupaya untuk menjadi begitu apabila mereka keluar dari sekadar memperhambakan diri kepada silibus dan profesyen masing-masing. Mereka tidak hanya membaca buku teks kejuruteraan untuk profesyen dan buku teks Hasan al-Banna dan Mustafa Masyhur untuk dakwahnya, sebaliknya mereka meluaskan bacaan dan kefahaman dengan mengambil buku-buku Current Affairs, Political Science, Falsafah, Sejarah dan menganggap semua itu sebagai sebahagian dari keperluan Tarbiyah dan BEKALAN UNTUK MEMENANGKAN ISLAM.


Tidak sedikit pelajar Syariah dan ustaz ustazah yang dinamik, tetapi mereka menjadi dinamik hanya selepas mereka berjaya memecahkan tembok sangkaan bahawa “ilmu itu ialah apa yang Allah cakap, apa yang Nabi cakap: maka jika sudah faham Tafsir dan faham Hadith, saya telah faham segala-galanya”.


Saya setengah mati mahu keluar dari tembok itu.


Sesungguhnya jalan untuk memenangkan Islam itu tidak semudah yang disangka…


Sejauh mana kita semua bersedia KE ARAH MEMENANGKAN ISLAM?


Abu Saif @ www.saifulislam.com


Sunday, March 15, 2009

Pilihanraya kampus di Malaysia panas.


Sumber : http://www.malaysiakini.com/letters/96599

Pilihanraya kampus kali ini amat hangat sekali dan sama taraf dengan pilihanraya umum ataupun pilihanraya kecil dalam negara. Barang kali kerana edah pilihanraya kampus kali ini sama dengan by pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, maka aksinya adalah sama. Seperti biasa wujudnya surat layang, fitnah, laporan polis dan terkini meletak kepala babi dalam surau di UM.


Di UKM, mahasiswa buat laporan polis kerana ugutan dalam SMS dan panggilan telefon. Di UIAM dan UPM pula suara bising berhubung tarikh pilihanraya dan beberapa syarat tertentu, turut berkumandang. Semua ini kebanyakannya berkisar dalam kelompok mahasiswa Islam.Penulis melihat perkara ini adalah terjemahan daripada sikap pemimpin yang gagal. Gagal bertindak sebagai khalifah dan gagal menjalankan amanah. Kenapa? Pertama soal label.


Sebenarnya tidak perlulah diletak label sama ada pro-mahasiswa atau pro-aspirasi kerana semua orang sama ada di dalam atau di luar kampus, termasuk di kampung, sudah tahu bahawa yang mengaku pro-aspirasi itu adalah yang menyebelahi Barisan Nasional, manakala pro-mahasiswa pula ialah pembawa bendera PAS, DAP dan PKR.Kedua, penulis sangat khuatir dengan tindakan segelintir pihak yang suka menangguk di air keruh. Di saat umat Islam ditekan kiri dan kanan, dalam dan luar negara, maka sangatlah perlu semua mahasiswa mengambil sikap 'ihtiat' (berhati-hati) agar apa-apa yang dilakukan itu, tidak mencederakan akidah walaupun untuk mendapatkan kuasa. Islam tidak mengiktiraf matlamat menghalalkan cara. Walaupun niatnya baik untuk mewujudkan saf kepimpinan yang Islamik tetapi kalau strategi kempen disaluti dengan najis propaganda hitam, kaedah Machiavelle, petikan nas agama di luar konteks, kemenangan tersebut adalah tidak bermakna, berdosa dan haram.Ketiga, politik kampus sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat luar agar berpolitik secara sihat sebagaimana kehendak Islam atau ilmu siyasah yang mana matlamatnya untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.


Amat malang sekali bila mana kini masyarakat tertanya-tanya di mana lagi contoh yang boleh diambil kerana mahasiswa juga turut terpengaruh dengan budaya songsang politik Barat yang menjadi idola tokoh masing-masing.Penulis menyeru semua mahaguru di universiti agar bangkit untuk membanteras penyakit yang sedang melanda umat Islam di Malaysia ini. Di samping doa, munajat serta solat hajat yang dilakukan saban hari, sumbangan berbentuk tulisan, syarahan, khutbah serta wawancara perlu di pergiatkan lagi oleh kaum cendikiawan agar umat Islam bangkit dari candu politik yang kini kian memakan diri. Ayuh bebaskanlah umat Islam dari rasa syok sendiri, hipokrit dan mimpi yang asyik.

Sunday, March 8, 2009

Pengumuman




Assalamu'alaikum kepada pelawat-pelawat blog PMK PERMAI ini,

apa khabar anda semua?

Saya ingin membuat satu pengumuman.

Pada penghujung tahun lepas, PERMAI ada mengadakan Sayembara Cerpen Islami PERMAI 2008. Justeru,4 penulis telah terpilih dalam menjadi pemenang teratas.

Maka mulai minggu hadapan, maka blog PMK PERMAI ini akan menyiarkan cerpen-cerpen tersebut bermula dengan pemenang tempat keempat.

Harap pelawat-pelawat setia menanti.

Teruskan bersama kami dengan pelbagai pengisian yang menarik

Apakah matlamat kehidupan insan?



oleh: Hilal Asyraf

http://langitilahi.com


Kita sudah maklum bahawa kita ini didatangkan daripada ALLAH S.W.T. Sudahlah ALLAH menciptakan kita dengan sebaik-baik penciptaan, ALLAH meminta pula para malaikat yang mulia itu untuk bersujud kepada kita. Kalaulah kita sekurang-kurangnya sedar akan hal itu, pastinya kita akan berfikir banyak kali untuk mencalarkan kemuliaan yang ada di dalam diri kita.

Matlamat, jika kita menyebut perkataan ini, apakah yang akan timbul di dalam pemikiran kita? Tujuan, destinasi, hala tuju, dan beberapa lagi perkataan lain yang seerti dengannya akan muncul. Matlamat menjadi perkara yang amat besar untuk kita kekal bertahan di atas jalan perjuangan kita. Jika kita samar dan kabur mengenai matlamat kita, pastinya kita akan cepat berputus asa. Betul?

Contoh,

Bila kita belajar, kita ditekankan untuk jelas akan sebab kita belajar?

Pelbagai sebab, sebab mak ayah, sebab keluarga, sebab buah hati, sebab masa hadapan. Itu semua membakar semangat kita menyebabkan kita sukar untuk berputus asa. Bila kita hendak berputus asa, kita ingat kembali sebab dan tujuan kita memulakan langkahan, maka kita akan bersemangat semula. Tambahan jika matlamat itu adalah matlamat yang besar dan kukuh.

Seorang ulama’ ada berkata,

“Berputus asa di tengah jalan itu adalah kerana berlakunya kesilapan di titik mula”

Hal ini menunjukkan, jika kita jelas kenapa kita memulakan langkahan, kita jelas apa yang hendak kita capai, maka kita akan sukar untuk berputus asa.

Kita memandang pula pada skop yang lebih besar, yakni kehidupan. Adakah kita tahu, matlamat dan tujuan kita didatangkan ke dunia ini? Kenapa sebenarnya ALLAH menciptakan kita di dunia ini? ALLAH menciptakan kita dengan sebaik-baik penciptaan, kenapakah ALLAH datangkan kita ke dunia ini sedemikian rupa? Untuk menjalani kehidupan, kemudian mati begitu sahaja?

Mari kita sama-sama tenangkan diri. Kita hirup udara segar sebentar, lapangkan minda dan hati kita, kita renungi firman ALLAH S.W.T.,

“ Dan tidaklah KAMI ciptakan jin dan manusia itu melainkan hanya untuk beribadah(kepada KAMI)”

Itulah tujuan kehidupan insan. Itulah tujuan manusia diciptakan. Tidakkah anda lihat, ALLAH menciptakan kita, maka matlamat kita adalah ALLAH semata-mata.

Kita hakikatnya perlu memasukkan kefahaman ayat ini di dalam kehidupan kita. Kita perlu menggamnya dan menyematkannya kemas di dala kehidupan kita.

Tidakkah anda merasakan yang hidup kita ini betul-betul satu anugerah? Sudahlah diciptakan sebegitu istimewa, malah tujuan kehidupan kita juga adalah teramat cantik. Tujuan hidup kita adalah ibadah kepada ALLAH. ALLAH tidak menciptakan kita atas sebab yang lain. Hal ini bermakna, kita perlu bergantung kepada ALLAH dalam segenap perkara, perlu mendekatkan diri kita kepada ALLAH setiap masa.

Cantiknya ALLAH S.W.T. yang telah menciptakan manusia dengan sebaik kejadian, kemudian meletakkan tujuan kehidupan insan dengan sebaik-sebaik tujuan.

Jika kita menganggap matlamat hidup kita sebagai ibadah, bukankah kita akan lebih kuat dalam menjaga diri kita dari perkara yang sia-sia? Kita akan lebih kuat dalam menjaga diri kita dari maksiat, kita akan berusaha menjauhkan diri kita dari apa yang ALLAH murka, kita akan jauhkan diri kita dari perkara-perkara yang merosakkan diri kita.

Jika kita menganggap meletakkan ibadah sebagai matlamat hidup kita, bukankah kita akan lebih terasa hendak melakukan banyak kebaikan? Bukankah tubuh kita akan sentiasa ringan untuk mencari segala peluang kebaikan? Bukankah nanti kita akan lebih mendekati ALLAH? Bukankah yang kita dapat hanya kebaikan?

Cantiknya matlamat ini. Malah matlamat ini akan membuatkan kita sentiasa beramal dengan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja lapangan, dalam pekerjaan, dalam pelajaran, dalam hubungan kita dengan keluarga, dalam hubungan kita dengan masayarakat, kerana kehidupan kita adalah ibadah.

Tujuan ini nyata tujuan yang kukuh. Kita pastinya sukar untuk tersasar ke jalan yang merosakkan jika kita menyedari matlamat sebenar kita didatangkan. Kita pastinya tidak akan mempersia-siakan penciptaan kita yang istimewa itu, jika kita menyedari akan hal ini. Nampaknya, jika kita sedar akan matlamat ini, kita akan lebih berjaya, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat nanti.

Justeru, marilah kita duduk sebentar, berfikir, dan mengoreksi tujuan serta matlamat kehidupan kita.

Marilah kita bersama-sama menjadikan kehidupan kita sebagai ibadah untuk berjaya di dunia dan akhirat.

ALLAH pasti tidak akan mempersia-siakan kita.

“ Dan ada di antara mereka yang berdoa, ‘ya tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka’. Mereka itulah yang memperoleh bahagian dari apa yang mereka kerjakan, dan ALLAH itu Maha Cepat PerhitunganNya”

Akhlak mulia.


oleh: Hilal Asyraf

http://langitilahi.com


Anda berakhlak mulia?

Pada pandangan anda, adakah berakhlak mulia ini membawa keuntungan atau tidak?

Ada orang kata, kalau baik, sentiasa kena pijak. Adakah perkara itu membuatkan kita tidak mahu atau fobia untuk berakhlak mulia?

Saya hendak berkongsi bersama-sama dengan anda, betapa beruntungnya kita jika berakhlak mulia. Hendak bersama-sama dengan saya?

Akhlak mulia hakikatnya merupakan salah satu asas terpenting dalam ajaran Islam untuk membina Peribadi dan memperbaiki masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat, kekuatan, kemuliaan, dan kewibawaan Peribadi-peribadinya sangat tergantung kepada sejauh mana mereka berpegang dengan akhlak mulia tersebut. Dan masyarakat akan hancur dan rosak tatkala mereka meninggalkan dan menjauhi akhlak yang terpuji. Setiap syariat dan agama memiliki perhatian yang serius terhadap gejala penyakit akhlak yang dapat menjadikan masyarakat terperosok. Dan dengan masing-masing ajarannya memperingatkan umatnya akan bahaya akhlak yang buruk serta menyeru agar mereka menjauhinya.

Islam telah mengajak manusia untuk membina fisik dan jiwanya secara sempurna dan seimbang, tidak tempang pada salah satunya. Islam menyeru agar mereka berpegang dengan akhlak mulia dan menyebarkannya, dan agar mereka meninggalkan serta menjauhi segala akhlak yang buruk.

Ajaran akhlak yang mulia ini telah diperlihatkan oleh suri teladan umat ini yaitu Rasulullah yang telah disifati oleh ALLAH dengan firman-Nya,

“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas akhlak yang mulia.” (QS. Al Qalam: 4)

Sa’ad bin Hisyam pernah bertanya kepada ‘Aisyah radhiALLAHu ‘anha tentang akhlak Rasulullah, maka ‘Aisyah radhiALLAHu ‘anha menjawab,

“Akhlak beliau adalah Al Quran.”

Lalu Sa’ad berkata,

“Sungguh saya ingin berdiri dan tidak lagi menanyakan sesuatu yang lain.” (HR.Muslim)

Oleh Kerana itu, Rasulullah merupakan sosok Peribadi yang paling bagus akhlaknya seperti yang disaksikan oleh Anas bin Malik (pembantu Rasulullah) selama sepuluh tahun- ketika beliau berkata,

“Rasulullah adalah orang yang paling bagus akhlaknya.” (HR. Muslim)

Maka pantaslah Rasulullah menjadi suri teladan bagi kita dalam segala aspek kehidupan beliau shalallahu ‘alaihi wa sallam seperti yang telah diberitakan oleh ALLAH dalam firman-Nya,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (yaitu) bagi orang yang mengharap (pertemuan dengan) ALLAH dan (keselamatan di) hari akhir dan dia banyak menyebut ALLAH.” (QS. Al Ahzab: 21)

Dan Rasulullah sendiri telah memotivasi umatnya yang beriman untuk berpegang teguh dengan akhlak yang bagus dan menjauhi akhlak yang buruk, seperti dalam sabda-sabda beliau berikut ini:

Daripada Abu Darda’ bahwa Nabi bersabda,

“Tiada suatu perkara yang paling memberatkan timbangan (kebaikan) seorang mukmin pada hari kiamat selain daripada akhlak mulia, dan sesungguhnya ALLAH amat benci kepada seorang yang buruk perbuatan dan ucapannya.” (HR. At Tirmidzi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah pernah ditanya tentang perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam surga, maka beliau menjawab,

“Bertakwa kepada ALLAH dan berakhlak mulia.”

Sementara ketika ditanya tentang perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka, beliau menjawab,

“Mulut dan kemaluan” (HR. Tirmidzi dan dihasankan sanadnya oleh Syaikh Albani)

Dan Rasulullah menjelaskan bahwa mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling sempurna akhlaknya, seperti yang beliau sabdakan,

“Sesungguhnya mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling bagus akhlaknya, dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap istri-istrinya.” (HR. Tirmidzi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

Bahkan Rasulullah telah menjadikan orang-orang yang berakhlak mulia sebagai orang-orang yang paling dekat duduknya dengan Rasulullah sebagaimana dalam sabdanya,

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat adalah yang paling bagus akhlaknya, dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh tempat duduknya dariku pada hari kiamat adalah tsartsarun (yang banyak bicara), mutasyaddiqun (yang bicara sembarangan lagi mencela manusia) dan mutafaihiqun. Para sahabat berkata, “Wahai Rosulullah, kami telah mengetahui tsartsarun dan mutasyaddiqun, tapi siapakah mutafaihiqun itu?” Rosulullah menjawab, “Mutakabbirun (orang-orang yang sombong).” (HR. Tirmidzi dan disahihkan oleh Syaikh Albani)

Nah...

Setelah membaca semua kalimah yang saya coretkan ini, adakah anda masih tidak mahu memupuk akhlak mulia di dalam diri?

Akhlak mulia sumber kebahagiaan dunia dan akhirat, jangan anda lepaskannya!