Monday, April 27, 2009

Carilah hatimu wahai hamba lemah



Sumber : http://genta-rasa.com/2009/04/07/carilah-hatimu/#more-325

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati - mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Sunday, April 26, 2009

Kelab Softskills.. Daftar sekarang!


Masih ramai yang tak tahu?atau masih lagi kabur?

Apa sebenarnya ‘softskill club’ ni ye?

Ada yang tanya, bagaimana ingin mendaftar?

Adakah perlu sertai ketiga-tiga unit untuk menjadi ahli?

Mudah sahaja untuk menjadi ahli kelab ni..

Ada 3 unit utama dalam kelab ini, bermaksud sekiranya anda sertai salah satu unit dalam kelab ini, anda telah menjadi ahli kelab yang rasmi.Tapi syaratnya perlulah mendaftar dahulu!

Bakat dan potensi anda adalah mutiara kekuatan Islam.

Minat tapi tak berbakat? Tak mengapa..Inilah masanya untuk ‘develop’ bakat itu
Kembangkan dan sebarkan kebaikannya kepada semua. Juga untuk kepuasan dalam hidup kita kerana telah melakukan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat kepada semua!

Hantarkan pendaftaran anda, juga jika terdapat kemusykilan ajukan pertanyaan kepada mereka:

Karyawan Muda
Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak ( saint_saladin@ yahoo.com ; 0776443158)
Ainul Arina Mardhiah (ainulmardhiah_ 89@yahoo. com ; 0779849871)

Orator (Pengucapan Awam, Pidato, Debat, Forum, Deklamasi Puisi & Teater)
Muhammad Naqeb bin Sulaiman ( munaq_89@yahoo. com.my; 0779838950)
Nurul Syafiqah binti Ahmad ( syaliasyafiqa@ yahoo.com; 0776916001)

Kembara
Syaiful Shafizan Bin Sarip (space_odysey87@ yahoo.com. my ;0779837058)
Nur Atiqah Mohd Nazeri (atiq_tasnim@ yahoo.co. uk ; 0779849865)


Tema dan Objektif Penubuhan

1.Karyawan Muda
“ Karya kita untuk ALLAH, tulisan kita merubah ummah”

Mengasah potensi ahli yang berminat untuk menulis

Mendidik ahli untuk menyuntik fikrah islamiyyah di dalam penulisan masing-masing

Melahirkan penulis mapan yang istiqamah dengan penulisan mereka


2.Orator (Pengucapan Awam, Pidato, Debat, Forum, Deklamasi Puisi & Teater)

Melahirkan mahasiswa yang berani tampil ke hadapan untuk menyuarakan pandangan dengan penuh karisama dan berketerampilan

Mewujudkan sifat kepimpinan dalam diri ahli

Mewujudkan suasana pengucapan awam yang baik dan berkesan dalam masyarakat PERMAI

3.Kembara
“Musafir Mencari Pencipta”

Berkongsi pengalaman sepanjang perantauan (spt menghasilkan travelogue dan buku panduan tips-tips mengembara)

Memberi pendedahan kepada ahli tentang cara-cara musafir & pengembaraan mengikut garis panduan islam

Melatih ahli menjadi pengembara muslim yang baik dan pandai mengurus rehlahnya


Terbuka kepada semua warga Irbed PERMAI

JANGAN LEPASKAN PELUANG…Daftarlah segera untuk menjadi ahli kelab ini !


“ Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah..”
- As-Syahid Imam Hasan al-Banna -

Friday, April 17, 2009

Abdullah Yusuf Azzam



Sumber : http://haluanpalestin.haluan.org.my/?p=1#more-1

Abdullah Yusuf Azzam dilahirkan di salah sebuah kampung di Utara Palestin yang dikenali sebagai Selat al-Harithia di daerah Jenin pada tahun 1941. Bapanya bernama Mustaffa yang meninggal dunia setahun selepas pembunuhan anaknya. Ibunya pula bernama Zakia Saleh yang meninggal dunia setahun sebelum Sheikh Abdullah Azzam dibunuh. Ibunya dikebumikan di kem Pabi, di Pakistan.

Beliau dari keluarga yang baik dan amat kuat berpegang dengan ajaran agama Islam. Keluarga beliau amat menyayanginya. Beliau juga amat istimewa berbanding kanak-kanak lain yang sebaya dengannya sewaktu kecil. Ini kerana beliau amat kuat beragama, pintar dan mula menyebarkan dakwah pada usia yang masih muda. Rakan-rakan beliau mengenali beliau sebagai seorang yang warak dan amat disenangi oleh semua. Guru-guru beliau melihat keistimewaan ini sejak beliau di bangku sekolah lagi dan beliau amat disayangi oleh mereka. Beliau menyertai gerakan al-Ikhwan-ul-Muslimin sebelum mencapai usia baligh lagi hasil didikan guru-gurunya yang terlibat dengan gerakan tersebut.

Sheikh Abdullah Azzam telah dikenali kerana ketabahan dan sifat beliau yang serius sejak beliau masih kecil lagi. Beliau menerima pendidikan awal peringkat sekolah rendah dan menengah di kampung beliau sebelum menyambung pelajaran beliau di Kolej Pertanian Khadorri sehingga ke peringkat Diploma. Walaupun beliau merupakan pelajar termuda di kalangan rakan-rakannya yang lain,namun beliau merupakan yang paling pandai dan bijak. Setelah menamatkan pengajian di Kolej Khadorri beliau bekerja sebagai seorang guru di sebuah kampung bernama Adder di Selatan Jordan. Kemudian beliau menyambung pengajian di Kolej Shariah di Universiti Damsyik sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Shariah pada 1966. Selepas pihak Yahudi menawan Tebing Barat pada tahun 1967, Sheikh Abdullah Azzam berhijrah ke Jordan, kerana beliau tidak mahu tinggal di bawah penjajahan Yahudi di Palestin. Pengalaman melihat kereta-kereta kebal Israel bergerak masuk ke Tebing Barat tanpa apa-apa tentangan meningkatkan azam beliau untuk berhijrah bagi mendapatkan kemahiran yang diperlukan untuk berperang.

Pada lewat 1960-an beliau menyertai Jihad menentang penjajahan Israel di Palestin dari Jordan. Pada ketika itu juga beliau menerima Ijazah Sarjana di dalam bidang Shariah dari Unversiti al-Azhar. Pada tahun 1970 sesudah Jihad terhenti kerana kekuatan PLO dipaksa keluar dari Jordan, beliau menjadi seorang pensyarah di Universiti of Jordan di Amman. Pada tahun 1971 beliau dianugerahkan biasiswa ke Universiti al-Azhar di Kaherah di mana beliau memperolehi Ijazah Kedoktoran di dalam bidang Usul al-Fiqh pada 1973. Ketika di Mesir beliau telah berkenalan dengan keluarga Syed Qutb.

Sesudah kepulangannya ke Jordan beliau telah berhijrah ke Arab Saudi untuk berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti di sana. Pada tahun 1979 beliau meninggalkan universiti tersebut untuk berpindah ke Pakistan agar berada hampir dengan suasana Jihad di Afghanistan. Di sana juga beliau mengenali pemimpin-pemimpin Jihad. Semasa mula-mula tiba di Pakistan beliau telah dilantik sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad. Selepas beberapa ketika beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari tugas mengajar di universiti untuk menumpukan keseluruhan masa dan tenaga beliau kepada usaha Jihad di Afghanistan.

Sikap dan pemikiran Abdullah Azzam banyak dipengaruhi oleh suasana Jihad di Afghanistan. Lebih menarik lagi suasana jihad di Afghanistan juga sangat banyak dipengaruhi oleh pemikiran beliau semenjak beliau menumpukan seluruh masanya untuk berjihad. Beliau menjadi seorang yang disegani di medan jihad Afghanistan dan juga di kalangan para pemimpin Afghan sendiri. Beliau telah mencurahkan seluruh daya usahanya untuk menyebarkan dan memahamkan isu jihad di Afghanistan kepada seluruh umat Islam di serata dunia. Beliau mengubah pandangan umat Islam tentang Jihad di Afghanistan daripada perjuangan rakyat Afghanistan mempertahankan tanah air mereka semata-mata kepada menyedarkan bahawa Jihad adalah tuntutan Islam yang dipertanggungjawabkan ke atas seluruh umat Islam di serata dunia. Berkat hasil usaha beliau, Allah S.W.T. telah menjadikan Jihad I Afghanistan sebagai satu Jihad universal yang disertai oleh ramai umat Islam dari serata pelusuk dunia.

Jihad di Afghanistan telah menjadikan Abdullah Azzam tunggak dan symbol pergerakan Jihad zaman ini. Melalui usaha beliau menyertai jihad ini, menyebarkan dan memahamkannya kepada umat Islam menjadikan beliau berjaya mengubah pemikiran umat Islam tentang jihad dan keperluan ummat ini kepada jihad. Beliau menjadi ikon generasi muda yang menyahut seruan jihad. Beliau sangat menghargai Jihad dan amat menekankan keperluan Ummah Islam kepada jihad. Pernah beliau berkata, ‘Aku rasa seperti baru berusia 9 tahun, 7 setengah tahun di Jihad Afghan, 1 setengah tahun di Jihad Palestin dan tahun-tahun yang selebihnya tidak bernilai apa-apa.’

Beliau juga melatih ahli keluarganya dengan kefahaman dan semangat yang sama. Isteri beliau contohnya, terlibat dengan penjagaan anak-anak yatim dan lain-lain kerja kebajikan di Afghanistan. Beliau sendiri menolak jawatan pensyarah dari beberapa buah universiti sambil berikrar bahawa beliau tidak akan meninggalkan jihad sehingga beliau gugur Syahid. Beliau juga selalu mengatakan bahawa matlamat utama beliau adalah untuk membebaskan Palestin selepas berjaya memerdekakan Afghanistan. Tentu sekali komitmennya yang sebegitu tinggi ini menimbulkan keresahan di kalangan musuh-musuh Islam. Akhirnya mereka bersekongkol untuk membunuh beliau. Pada tahun 1989, sebuah periuk api anti kereta kebal telah diletakkan di bawah mimbar yang beliau gunakan untuk menyampaikan khutbah Jumaat. Bahan letupan tersebut adalah sangat merbahaya dan sekira meletup akan memusnahkan masjid tersebut bersama-sama dengan segala-gala benda dan para jemaah di dalamnya. Tetapi dengan perlindungan Allah, periuk-api tersebut tidak meletup dan ratusan orang Islam terselamat.

Musuh-musuh Islam ini terus berusaha tanpa putus asa. Pada hari Jumaat, 24 November 1989 di Peshawar, Pakistan, tiga buah bom telah dipasang di sebatang jalan yang sempit yang sering diambil oleh Abdullah Azzam untuk ke masjid pada hari Jumaat. Beliau meletak kereta di kedudukan bom pertama dan kemudian berjalan ke masjid untuk bersolat Jumaat. Beliau telah terbunuh dan gugur syahid bersama-sama dengan dua orang anak lelakinya, Muhammad dan Ibrahim, beserta dengan anak lelaki al-marhum Sheikh Tamim Adnani (seorang lagi perwira di Afghan) dengan 20kg TNT (Dinamit) yang diletupkan dengan alat kawalan jauh. Selepas letupan yang kuat itu itu orang ramai keluar beramai-ramai dari masjid dan kelihatanlah satu keadaan yang mengerikan. Hanya bahagian kecil dari kereta tersebut yang kelihatan. Anak beliau, Ibrahim, melambung 100 meter; begitu juga dengan dua orang anak-anak lagi. Cebisan mayat mereka berteraburan di atas pokok-pokok dan wayar-wayar elektrik. Tubuh Sheikh Abdullah Azzam pula telah dijumpai bersandar pada sebuah tembok, dalam keadaan sempurna, tiada luka atau kecederaan walau sedikitpun melainkan sedikit darah yang mengalir dari bibir beliau. Begitulah tamatnya kehidupan seorang Mujahid di dunia ini dan insha-Allah menyambung pula kehidupannya di sisi Allah. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Shuhada Pabi di mana beliau menyertai ribuan para Shuhada.

Di antara usaha terbesar beliau di medan jihad Afghanistan ialah penyatuan pihak-pihak pejuang Afghanistan dari pelbagai latar belakang untuk menentang Russia. Orang-orang Afghan yang sememangnya dikenali dengan kekerasan dan perpecahan di kalangan mereka telah berjaya disatukan oleh Abdullah Azzam di bawah satu panji jihad. Sayangnya, selepas beliau syahid, dan selepas Afghanistan berjaya mencapai kemerdekaan dari penjajahan Russia, puak-puak pejuang Afghanistan kembali berpecah dan berperang sesama sendiri.

Beliau juga berjasa dalam menubuhkan briged jihad mujahidin Arab yang datang dari seluruh pelusuk dunia untuk bersama-sama dengan saudara Afghan mereka menentang Russia. Para mujahidin Arab ini telah dididik dan dilatih di kem mereka yang tersendiri. Di antara graduan dari kem tersebut ialah Usamah Ben Laden yang telah bertindak sebagai ketua para mujahidin Arab selepas kematian Abdullah Azzam. Kem ini kemudiannya dijadikan sebagai kem latihan para mujahidin dan pejuang Islam yang ingin berjuang di mana-mana bumi umat Islam yang meletusnya jihad. Sehinggalah ianya dimusnahkan oleh Amerika Syarikat sewaktu terletusnya perang Afghanistan 2001.

Yang pastinya, seperti yang telah disebutkan sebelum ini, nama beliau akan tetap dikenang sebagai orang yang bertanggung jawab menimbulkan semula kecintaan umat Islam di serata dunia terhadap fardhu jihad yang semakin dilupakan sebelum peperangan Afgahnistan.

Saturday, April 4, 2009

Rahsia Penulisan

Introspeksi Iman Khas
10 Mac 2009 ( Selasa)

Perkongsian mengenai 'Rahsia Penulisan' oleh Hilal Asyraf



PERHATIAN UNTUK SEMUA SYABAB!!

Pada setiap Selasa malam, Introspeksi Iman kita akan membicarakan mengenai softskill yang akan dikendalikan oleh Unit Softskill JKK Pembangunan Minda dan Kendiri PERMAI.

Anda semua dijemput hadir..

the VEIL

best nie..

Wednesday, April 1, 2009

Mahasiswa ISLAM vs mahasiswa biasa


Sumber : http://www.e-ppms.org/index.php?option=com_content&task=view&id=769&Itemid=37


Mahasiswa merupakan segolongan ahli masyarakat yang diberi peluang oleh Allah swt untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Ia juga merupakan sekumpulan masyarakat yang kecil di dalam sesebuah IPT. Dikalangan mahasiswa sendiri terdapat pelbagai golongan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini sebenarnya memberi peluang kepada mahasiswa itu sendiri untuk mempelajari bagaimana untuk mempelajari cara berhadapan atau bergaul dengan pelbagai jenis manusia.
Walau bagaimanapun, di mana-mana IPT, mahasiswa dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Di antara ‘lebalan’ yang pernah didengari dan diberikan kepada mahasiswa adalah seperti ‘mahasiswa lesu’, ‘mahasiswa progresif’, ‘mahasiswa sedar’ dan ‘mahasiswa Islam’, Ini hanya di antara contoh-contoh gelaran atau ‘lebalan’ yang diberikan kepada golongan mahasiswa di kampus. Pada tulisan kali ini, ingin saya membawa rakan mahasiswa untuk memahami tentang tanggungjawab sebagai Mahasiswa Islam. Klasifikasi saya berkaitan dengan Mahasiswa Biasa ialah golongan mahasiswa yang tidak dinafikan kesadaran mereka terhadap isu-isu semasa sama ada berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan segala isu yang berkaitan dengan tanah air tercinta mahu pun isu sejagat seperti isu palestin, kesan rumah hijau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kesedaran mereka masih belum mencapai tahap di mana mereka mampu dan seterusnya bersama-sama dengan golongan mahasiswa yang optimis dan konsisten dalam usaha melakukan sesuatu untuk merubah sesuatu yang dilihat bertentangan dengan keadilan sejagat, apatah lagi yang bertentangan dengan prinsip Islam walaupun pada masa yang sama mereka sedar tanggungjawab mereka sebagai mahasiswa iaitu menuntut ilmu (akademik).
Apabila bercakap tentang Mahasiswa Islam, saya merujuk kepada konsep asas pembentukan sebagai individu muslim yang menuntut pengislahan diri sebagai permualaan untuk melakukan pengislahan ke atas keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Mahasiswa Islam perlu menyedari bahawa dalam usaha untuk mendaulatkan Islam, ‘batu-bata’ atau tenaga pejuang mestilah kental dan bersedia dari segi intelek, emosi, jasmani dan yang paling penting ialah spiritualnya. Kerana dengan kemantapan dan kedalaman iman di hati Mahasiswa Islam, nescaya mereka dapat mengarungi segala mehnah dan tribulasi yang bakal mereka tempuhi kelak.
Bagaimana hendak memiliki jiwa yang kental dan persediaan yang rapi?
Dalam proses melahirkan Mahasiswa Islam yang sempurna dari segenap aspek, setiap cabang tarbiyyah perlu dititik beratkan agar seimbang dan tidak berat sebelah. Dan sebagai mahasiswa Islam seharusnya sentiasa mengambil berat soal tarbiyyah dan sudah semestinya mengikuti program-program yang telah ditetapkan oleh organisasi. Jangan pula menganggap bahawa program-program tarbiyyah itu sebagai bebanan pada diri Mahasiswa Islam. Sebaliknya, jadikanlah ia sebagai usaha untuk mendekatkan diri kita kepada Kekasih Agung dan seterusnya memohon pada-Nya agar dapat memberikan kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan. Umum mengetahui bahawa perjuangan Islam itu adalah panjang dan memerlukan stamina yang panjang dan oleh kerana itulah, program-program tarbiyyah diatur untuk menyediakan mahasiswa yang benar-benar faham erti perjuangan dan sedia bekorban untuk Islam.
Pasca perjuangan Mahasiswa Islam pada hari ini adalah lebih mencabar. Mahasiswa Islam perlu sedaya-upaya untuk memperkasakan diri dengan kemahiran insaniyyah(softskill) di samping mengikuti program-program tarbiyyah yang ada. Kemahiran berucap, menulis, berhujah dan kemahiran IT perlu ditajamkan oleh setiap Mahasiswa Islam. Kedua-dua aspek tersebut iaitu menghadiri program-program tarbiyyah dan pemerkasaan kemahiran insaniyyah perlulah dilakukan oleh Mahasiswa Islam dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkualiti. Ia sudah semestinya akan digandingkan dengan akademik yang cemerlang. Kepakaran dalam bidang masing-masing harus dinilai dalam konteks ingin mengaplikasikan kepakaran tersebut demi melihat kecemerlangan ummah. Oleh itu, kepakaran mesti diperolehi oleh Mahasiswa Islam. Mahasiswa Islam juga mesti peka dengan isu-isu semasa berkaitan dengan isu umat Islam di luar dan dalam negara serta isu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Kesimpulan
Inilah di antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh Mahasiswa Islam yang agak berbeza dengan Mahasiswa Biasa. ‘Mindset’ perlu ditukar daripada seorang Mahasiswa Biasa kepada seorang Mahasiswa Islam yang sedar akan tanggungjawab besar yang sedang dipikul. Program tarbiyyah wajib dihadiri disamping pemerkasaan kemahiran insaniyyah yang perlu dilakukan oleh Mahasiswa Islam. Juga tidak lupa kepada penguasaan dalam jurusan yang sedang dipelajari oleh setiap Mahasiswa. Semua ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai persediaan untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia. Islam yang disalah fahamkan oleh sesetengah pihak mesti perbetulkan. Dakwah Islam mesti diperluaskan dan masyarakat perlu didekati. Semoga Mahasiswa Islam yang diredhai Allah akan lahir disetiap IPTA/s seluruh Malaysia.